Pahlawan Bugis tidak mencuri, kata Dr Mahathir kepada Najib 


Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak menghina komuniti Bugis dengan menggelar mereka lanun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2017.

PAHLAWAN Bugis tidak mencuri, kata Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad hari ini merujuk kepada musuhnya Najib Razak, dan menegaskan beliau tidak menghina komuniti Bugis dengan menggelar mereka lanun. 

“Saya tidak pernah kata orang Bugis semuanya lanun. Yang saya kata ialah (perdana menteri) Najib (Razak) mungkin berasal dari lanun Bugis,” kata bekas perdana menteri itu dalam posting terbaru di blognya.

Beliau turut menyertakan pautan video dalam satu ucapannya baru-baru ini yang mana beliau berkata, “Ya lah, mungkin kerana dia (Najib) berasal daripada lanun Bugis”.

“Ucapan saya dituju kepada Najib yang sering mendakwa ia adalah pahlawan Bugis. Pahlawan Bugis tidak mencuri. Najib pencuri besar dan dikenali sebagai penyamun oleh seluruh dunia,” kata Dr Mahathir.

Masyarakat Bugis di Malaysia mendesak Dr Mahathir untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan dari Dr Mahathir kerana menyifatkan mereka sebagai lanun.

Minggu lalu Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis Melayu Malaysia (PPRBMM) yang berhimpun secara aman di hadapan Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya sebagai membantah kenyataan bersifat perkauman tersebut.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi parti pembangkang Bersatu, membuat kenyataan itu pada satu perhimpunan di Petaling Jaya sebagai maklum balas terhadap Najib yang sebelum ini sering mendakwa dirinya “pahlawan Bugis”, yang tidak akan tunduk dengan kritikan bekas mentornya itu. 

Dr Mahathir merupakan bekas mentor Najib namun kini menentangnya kerana dakwaan penyelewengan membabitkan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad dan pengurusan negara serta ekonomi. 

Dr Mahathir berkata masyarakat Bugis perlu berbangga dengan Najib yang menggelarkan dirinya pahlawan Bugis. 

“Apakah orang Bugis dapat menyambut baik bahawa penyamun ini seorang pahlawan berketurunan Bugis. Saya tidak fikir orang Bugis boleh berbangga dengan seorang penyangak mendakwa ia adalah pahlawan Bugis.”  – 26 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ini bukan pahlawan bugis tp bugis x bertelur

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan