Pakatan yakin potong GST masih untung RM6 bilion


Sheridan Mahavera

Pemimpin Pakatan Harapan menunjukkan buku Bajet 2018 mereka pada sidang media di Parlimen hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 25 Oktober, 2017.

PAKATAN Harapan percaya ia boleh menguruskan kerajaan persekutuan tanpa pendapatan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) malah boleh menambah RM6 bilion pendapatan negara daripada kutipan cukai lain dan pengurangan ketirisan.

GST dijangka mendatangkan pendapatan sehingga RM42 bilion bagi kerajaan pada 2018. Namun pemimpin PH hari ini berkata berdasarkan anggaran mereka, ia boleh menampung kehilangan pendapatan itu dan menokok RM6 bilion lagi.

Mereka berkata pendapatan tambahan itu datang melalui kutipan cukai lebih tinggi daripada cukai lain kesan peningkatan perbelanjaan untuk kereta, hartanah dan barangan import.

Dalam belanjawan alternatif 2018 yang diumumkan hari ini, PH menjangkakan penjimatan sehingga RM20 bilion dalam perbelanjaan kerajaan dengan mengurangkan pembaziran dan penyelewengan yang ia katanya ketara dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Pada sidang media, Wong berkata kadar GST akan diturunkan dari masa ke masa dalam tempoh setahun daripada 6% pada masa ini kepada sifar.

Bagaimanapun, sistem pengiraan akan dikekalkan kerana perniagaan dan kerajaan melabur wang untuk membinanya.

“Kami akan melakukannya secara berperingkat dalam tempoh setahun supaya sistem itu tidak terkejut. Tetapi kami menyasarkan untuk memansuhkan sepenuhnya cukai itu pada penghujung tahun berkenaan.”

Dalam pengumuman bajetnya, PH mengeluarkan pecahan bagaimana ia merancang untuk mengisi kelompangan dalam menambah pendapatan.

Walaupun GST akan dimansuhkan, PH akan memperkenalkan cukai kepenggunaan baharu yang secara kasarnya berdasarkan kepada cukai jualan dan perkhidmatan sebelum ini yang terhad kepada barang dan perkhidmatan tertentu.

Ini dijangka dapat menyumbang RM16.50 bilion kepada dana awam dan mengurangkan kerugian daripada pemansuhan GST kepada RM25.50 bilion daripada RM42 bilion.

“Pengiraan fiskal menunjukkan menyuntik semula RM25.50 bilion ke dalam pasaran akan secara langsung menyebabkan tiga pendapatan positif.”

PH menjangkakan ia akan menyebabkan lonjakan dalam aktiviti penggunaan dan perniagaan yang akan meningkatkan perolehan dalam tiga bidang:

* tambahan RM2.81 bilion dalam pendapatan cukai korporat.

* tambahan RM0.40 bilion dan RM1.06 bilion dalam duti eksais import untuk semua barangan kecuali kereta susulan peningkatan 20% dalam penggunaan.

* tambahan RM300 juta ke dalam Cukai Keuntungan Harta Tanah membawa kepada RM1.82 bilion.

* lonjakan dalam jualan kereta akan menyebabkan duti kereta import lebih tinggi daripada RM130 juta kepada RM770 juta, duti eksais daripada RM1.3 bilion kepada RM7.82 bilion dan lesen kenderaan daripada RM500 juta kepada RM3.01 bilion.

* kutipan duti setem meningkat RM1.2 bilion.

* pendapatan pelaburan lebih baik RM3.8 bilion daripada syarikat berkaitan kerajaan dan institusi pembangunan kewangan.

Dengan semua kenaikan itu, PH menjangkakan ia akan mengurangkan kekurangan pendapatan hasil GST daripada RM25.50 bilion kepada RM14 bilion.

PH berkata jika ia berjaya menjadi kerajaan, ia dapat menjimatkan RM20 bilion kos operasi dengan mengurangkan ketirisan dan rasuah.

Daripada pengiraannya, kira-kira RM160 bilion yang dibelanjakan dalam bajet kerajaan setiap tahun terdedah kepada pembaziran dan salah guna, kata Wong.

“Berdasarkan kepada laporan tahunan ketua audit negara, jumlah pembaziran dan salah pengurusan berjumlah antara 10% hingga 15% atau purata RM20 bilion.

“Dengan pelaksanaan ini, kami bukan saja dapat menampung keseluruhan kekurangan perolehan daripada pemansuhan GST, kami juga sebenarnya dalam merekodkan lebihan RM6 bilion,” katanya. – 25 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen