Masanya laksana sekolah satu aliran


KAMI berdiri teguh dan menyokong penuh usaha murni Mohd Khairul Azam Abdul Aziz untuk terus mencabar kesahihan penubuhan sekolah vernakular di Malaysia melalui jalan perundangan.

Menurut Khairul Azam, Parlimen Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk memberi kuasa budi bicara kepada Menteri Pendidikan bagi menubuhkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Ini kerana Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kuasa sedemikian.

Kami berpandangan usaha beliau amat murni dan mempunyai asas yang sangat kuat dan jelas. 

Usaha ini bukan atas kepentingan peribadi atau puak tertentu tetapi semata-mata usaha unggul ke arah penyatuan kaum di Malaysia demi masa depan yang stabil.

Selama ini, sekolah vernakular telah menjadi faktor utama terhadap polarisasi kaum di negara ini, iaitu dengan secara sengaja telah mengasingkan murid-murid bukan Melayu di sekolah vernakular.

Pendidikan ini menyemai bibit-bibit rasa curiga, cemburu dan tidak puas hati di antara kaum di bumi tercinta ini. 

Fenomena ini adalah “bom jangka” yang hanya menanti detik ledakan dahsyatnya. 

Maka seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia yang mencintai kedamaian dan keamanan, menolak keberadaan sekolah vernakular dan seterusnya melaksanakan sekolah satu aliran menggunakan Bahasa Melayu sebagai “Bahasa Perpaduan”.

Amatlah malang polarisasi kaum di Malaysia telah bermula seawal kanak-kanak di bangku sekolah. 

Sepatutnya sekolahlah menjadi wadah utama penyatuan kaum, budaya dan agama khususnya kepada anak-anak bagi mengenali hati budi, bersahabat, berkongsi suka-duka dan seterusnya menghargai kewujudan kepelbagaian di Malaysia. 

Jadi bagaimanakah “jati diri dan identiti nasional” akan terbentuk?

Sejak sekian lama kerajaan Malaysia telah menggerakkan pelbagai usaha dan membelanjakan berbilion ringgit untuk membentuk “jati diri dan identiti nasional” di setiap lapisan masyarakat tetapi adakah usaha ini berhasil? 

Kalau melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hasilnya, kita dapati sensitiviti dan toleransi antara kaum amat meruncing.

Pandangan dan saranan beberapa kali daripada ahli akademik ulung, Prof. Dr. Teo Kok Seong menggesa agar kerajaan melaksanakan sistem sekolah satu aliran (SSA) bagi menyelesaikan masalah ini di peringkat yang paling dasar amatlah wajar diikuti. 

Masanya telah tiba untuk negara kembali menghayati dan melaksanakan Dasar Pendidikan Kebangsaan sepenuhnya.

Penyimpangan lampau perlu diperbaiki dan diberi nafas baharu. Kerajaan mestilah ada “political will” untuk melaksanakan SSA ini.

Kami sekali lagi menegaskan dan menyeru agar seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama agar terus memberi sokongan ke arah penubuhan sistem Sekolah Satu Aliran di Malaysia. – 16 November, 2019.

*Sirajuddin Haji Salleh adalah Presiden Pertubuhan Gerakan Qiam*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Sangat bersetuju dengan sekolah satu aliran. Perpaduan kaum di negara kita sangat penting demi kebaikan bersama.

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Salleh Hashim · Ulasan