Orang Asli di Gua Musang kehabisan bekalan makanan


Noel Achariam

Masalah serangan gajah liar dan banjir menyebabkan 80 keluarga Orang Asli di Gua Musang kekurangan bekalan makanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2019.

MULA-MULA, serangan gajah. Sekarang, banjir pula.

Ini masalah yang dihadapi oleh 80 keluarga Orang Asli di Pos Simpor, di Gua Musang, Kelantan. Masalah ini jugalah yang menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada hanya sekampit beras sebelum bantuan sampai.

Dua minggu lalu, sekumpulan gajah liar mengamuk di tiga buah kampung dan memusnahkan tanaman penduduk. Penduduk kampung sudah meminta pertolongan dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tetapi setakat ini masih belum menerima maklum balas.

Lebih teruk lagi, penduduk berkata mereka kini berdepan pula masalah banjir yang menyukarkan mereka ke pekan berdekatan yang terletak 5km dari kampung untuk membeli bekalan makanan.

Mereka bimbang sekampit beras yang tinggal tidak cukup untuk penduduk kampung.

Aktivis Orang Asli Pos Simpor, Nur Mohd Syafiq Dendi Abdullah memberitahu The Malaysian Insight kekurangan makanan dialami sejak dua minggu lalu, iaitu sejak gajah liar menyerang kampung.

“Tanaman kami musnah dan ada yang dimakan gajah.

“Bekalan makanan kami sangat sedikit dan kami hanya makan nasi,” kata Syafiq.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan bahawa kerajaan negeri meluluskan aktiviti penebangan hutan sehingga menyebabkan haiwan liar masuk ke kampung untuk mencari makanan.

Tindakan kerajaan negeri meluluskan aktiviti penebangan hutan sehingga menyebabkan haiwan liar masuk ke kampung untuk mencari makanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2019.

Syafiq berkata mereka meminta pertolongan Jakoa mengenai masalah ini tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.

“Kami dah hubungi pengarah Jakoa Kelantan sejak kejadian berlaku, tetapi sampai sekarang tak ada jawapan.

“Sekarang musim banjir pula, dan kami kena berhat-hati.

“Masalah kami ialah kami tak ada bekalan makanan dan kalau berterusan macam ini, kami terpaksa makan apa saja,” katanya.

Tambahnya, penebangan hutan di sekitar kampung menjadi punca gajah-gajah liar ini masuk ke kawasan penempatan manusia.

“Ini kerana bila pokok ditebang, gajah tak ada tempat nak cari makanan. Sebab itulah mereka masuk kampung kami.”

The Malaysian Insight sudahpun menghubungi Jakoa dan masih menunggu maklum balas.

Pertikaian antara masyarakat Orang Asli di Gua Musang dengan pembalak dan peladang berlarutan sejak bertahun-tahun lamanya. 

Kerajaan negeri Kelantan berkata aktiviti penebangan hutan dan perladangan adalah sah dan kerana tanah terbabit adalah milik kerajaan negeri memandangkan tanah adat tidak wujud dalam perlembagaan persekutuan.

Mengikut undang-undang, urusan tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. – 16 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen