Tanah runtuh: Jabatan Alam Sekitar pilih kasih


Datuk Bandar MBPP, Maimunah Mohd Sharif dan Exco Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow menunjukkan kepada media peta tapak kuari dan tapak pembinaan di mana berlakunya tanah runtuh yang memakan nyawa 11 orang pada Sabtu pagi lalu. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2017.

KERAJAAN Pulau Pinang hari ini menuduh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengamalkan sikap pilih kasih bila menolak permohonan projek Taman Sri Bunga Sdn Bhd tetapi membenarkan dua projek lain di Tanjung Bungah.

Exco Kerajaan Tempatan Chow Kon Yeow berkata dua projek yang dibuat beberapa tahun lalu sangat dekat dengan kuari di Lembah Permai, Tanjung Bungah, berhampiran dengan tapak kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 11 pekerja tapak pembinaan, Sabtu lalu.

Dua projek itu ialah Kolej Tunku Abdul Rahman dan kawasan perumahan yang terdiri daripada banglo tiga tingkat dan rumah berkembar.

Projek itu diluluskan oleh JAS pada 22 Mei, 2008 menurut Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), kata Chow.

“Sebelum ini JAS tak berkata apa mengenai dua projek yang terletak dalam kawasan sama yang jaraknya hampir 500 meter dari kawasan kuari.

“Adakah JAS amalkan sikap pilih kasih? Memandangkan JAS-lah yang menyemak projek pangsapuri itu dan membatalkan permohonan tanpa mengambil kira bahawa jabatan itu sendiri telah meluluskan dua projek sebelum kejadian tanah runtuh itu berlaku,” kata Chow hari ini.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar semalam berkata JAS telah menolak permohonan pemaju Taman Sri Bunga Sdn Bhd pada Januari 2015.

Antara sebabnya adalah kerana tapak itu dekat dengan kuari granit selain kerana kurangnya zon pemampan.

Bagaimanapun, MBPP berkata jarak antara kuari itu dan tapak projek lebih daripada 500 meter, manakala garis panduan persekutuan untuk jarak antara kawasan projek pembangunan dan kuari adalah 250 meter.

Datuk Bandar MBPP, Maimunah Mohd Sharif berkata pihak pemaju untuk rumah mewah mampu milik itu telah menyerahkan permohonan dan pelan kebenaran kepada pihak majlis pada November 2014.

Ia telah disemak oleh pelbagai jabatan teknikal sebelum ia dibentangkan kepada jawatankuasa OSC pada Februari 2015 untuk pertimbangan dan kelulusan.

Pelan bangunan itu dikirim pada April 2015 dan telah diberikan kelulusan bersyarat sebulan kemudian.

Sebelum pihak pemaju dibenarkan memulakan kerja pada Januari tahun lepas, pelan kerja tanah juga telah diserah pada Mei 2015 dan diluluskan sebulan selepas itu dengan bersyarat.

“Tapak projek berada dalam zon kediaman umum. Ia adalah cerun kelas dua bawah daripada 20°. Tapak itu berada di atas tanah dengan kontur antara 18 meter dan 40 meter. Tanah itu juga kurang daripada 250 kaki (76 meter) daripada paras laut.

“Projek ini mematuhi Garis Panduan Pembangunan Keselamatan untuk Tapak Bukit 2012. Projek ini juga menerima kelulusan daripada Jabtaan Mineral dan Geosains pada Disember 2014,” tambahnya.

Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang melarang pembangunan di tanah bukit bercerun lebih daripada 25°, dan juga melarang pembangunan di atas tanah yang melebihi 76 meter dari paras laut. Oleh itu, tapak projek itu, yang berada rendah dari paras ditetapkan, dianggap berada di tanah rendah.

Berdasarkan maklumat projek itu, Maimunah berkata, memandangkan JAS menyokong dua projek awal di kawasan sama, MBPP pun memberikan kelulusan untuk membina pangsapuri 50 tingkat mampu milik itu.

“Projek itu telah disemak oleh jabatan teknikal dalam dan luar. Keseluruhan 20 semakan oleh 20 jabatan teknikal itu telah diambil kira,” katanya.

Gabungan kumpulan masyarakat sivil dan pengkritik tegar kerajaan negeri Pakatan Harapan menyalahkan pentadbiran DAP kerana membenarkan pembangunan di pinggir bukit bercerun itu. 

Malah ada yang memberi amaran bahawa kerajaan sekarang akan kehilangan undi,

Bagaimanapun kerajaan negeri dan MBPP menegaskan bahawa kejadian tanah runtuh itu sebagai kemalangan tapak pembinaan.

Chow dan Maimunah mengesyaki terdapat adanya kecuaian dalam pengurusan tapak pembinaan itu.

Chow turut menyangkal dakwaan bahawa lokasi projek yang berhampiran tapak kuari sebagai penyebab tanah runtuh.

“Persoalannya ialah bagaimana kemalangan di tapak pembinaan itu berlaku, bukan persoalan jarak. Adakah jarak yang menyebabkan tanah runtuh? Kita perlu menyiasat apa yang berlaku di tapak pembinaan itu sama ada garis panduan diikuti atau tidak,” katanya – 23 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen