Jangan tolong budak basikal lajak


SAYA amat bersetuju dengan tindakan menangkap budak yang bermain basikal lajak dan mengenakan denda kepada ibu bapa terlibat. Ini adalah tindakan yang cemerlang.

Budak-budak ini biasanya mengayuh mesin mereka yang hodoh ini di jalan raya. Jika terlanggar, kereta kita yang mahal akan mengalami kerosakan.

Kita juga sukar menaip di telefon bimbit semasa memandu kerana terpaksa memerhati dan mengelak budak-budak ini.

Saya tidak faham kenapa kerajaan mengumumkan akan membantu budak-budak ini. Sepatutnya kerajaan membelanjakan wang untuk memperbesarkan lagi jalan raya supaya kita selesa memandu.

Apabila jalan raya diperbesarkan, tentulah tiada lagi kesesakan. Semua jalan raya sepatutnya dilebarkan menjadi 50 lorong. Kita akan kelihatan maju di mata dunia.

Denda sebanyak RM20,000 pula sebenarnya sangat rendah. Ini perlu dinaikkan lagi supaya kita boleh membina lebuh raya 50 lorong yang saya sebut tadi.

Kita dengar ibu bapa budak-budak ini bekerja siang malam. Ada yang buat dua tiga pekerjaan dalam masa sehari. Tapi biasanya satu hari ada 24 jam. Kenapa perlu tidur jika boleh bekerja?

Kawasan perumahan kos rendah mereka tentu ada gelungsur dan jongkang-jongket. Ini sudah cukup untuk beriadah. Atau tidur sajalah di rumah kerana ibu bapa boleh bekerja 24 jam.

Tapi memandangkan ibu bapa bekerja 24 jam, tentulah ada wang yang boleh diberi kepada anak-anak ini untuk membeli alat sukan yang lebih sesuai seperti permainan video.

Kenyataan menteri kanak-kanak yang menyebut bakat budak-budak ini boleh digilap untuk menjadi atlet juga cukup menggelikan hati.

Beliau agaknya tidak tahu dunia atlet dan orang sukan ini adalah kelompok elit dan hanya boleh disertai oleh keturunan yang baik-baik.

Maruah ibu bapa yang lain akan tercemar jika sukan disertai oleh orang miskin. – 12 November, 2019.

* Hassan Abdul adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen