7 suspek ditahan terlibat serangan berdarah di selatan Thai


Wilayah selatan Thailand diletakkan di bawah undang-undang darurat apabila pihak keselamatan meningkatkan kawalan dan menahan mana-mana suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian itu. – Gambar EPA, 9 November, 2019.

SERAMAI tujuh suspek pemberontak sudah ditahan di selatan Thailand ketika pihak berkuasa menggiatkan operasi memburu kumpulan penyerang yang membunuh 15 orang dalam satu serangan hendap di wilayah itu baru-baru ini.

Tiga wilayah selatan Thailand menyaksikan pertumpahan darah paling teruk di negara itu dengan lebih 7,000 korban dicatatkan dalam konflik selama 15 tahun apabila penduduk di wilayah itu mahu memperjuangkan wilayah autonomi.

Serangan terbaharu pada Selasa lalu di dua pusat pemeriksaan di wilayah Yala menyaksikan 15 orang terbunuh termasuk penduduk beragama Islam dan Buddha.

Seorang suspek ditahan sehari kemudian dan enam lagi ditahan di Yala dan Pattani beberapa hari selepas itu.

Pihak berkuasa percaya kira-kira 40 orang terlibat dalam serangan tersebut tetapi mereka masih belum pasti kumpulan pemisah mana yang terlibat dalam kejadian itu.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Wilayah itu turut diletakkan di bawah undang-undang darurat apabila pihak keselamatan meningkatkan kawalan dan menahan mana-mana suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian itu.

Kesemua tujuh suspek yang telah ditahan dihantar ke kem tentera Inkayuth di wilayah Pattani untuk siasatan lanjut. – AFP, 9 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen