Kaedah terbaik bangunkan Kampung Baru


Perancangan bangun semula Kampung Baru akan hanya diketahui hujung bulan ini nanti setelah lebih kurang 3,000 pemilik dan pewaris memberi maklum balas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2019.

SEJAK Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad mengumumkan tawaran baharu kepada pemilik dan pewaris Kampung Baru pada Khamis lepas, pelbagai maklum balas diterima yang menarik perhatian masyarakat umum.

Sudah ada yang tersenyum lebar apabila kerajaan menawarkan harga baharu RM1,000 bagi setiap satu kaki persegi pembelian tanah Kampung Baru berbanding tawaran sebelumnya iaitu RM850 setiap kaki persegi.

Namun tidak kurang juga kedengaran suara kebimbangan yang jelas tidak mahu tanah kawasan Melayu di tengah-tengah Kuala Lumpur ini dijual. Sebaliknya, pemilik dan pewaris bertegas mahu pembangunan dilakukan mengikut acuan mereka sendiri.

Sama ada perancangan membangunkan semula Kampung Baru menjadi kenyataan atau sebaliknya seperti yang dihasratkan kerajaan hanya akan diketahui pada hujung bulan November nanti setelah lebih kurang 3,000 pemilik dan pewaris memberi maklum balas.

Biar penduduk Kampung Baru buat pilihan

Walau apa pun halangan dan cabaran, Kampung Baru yang berusia 122 tahun wajar dibangunkan semula bagi mengubah imejnya yang masih lagi mundur, usang dan tidak mempunyai infrastruktur serta kemudahan bandar yang baik.

Pakar undang-undang, Prof Salleh Buang mempersoalkan kenapa Kampung Baru tidak dibangunkan semula sedangkan Malaysia mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam pembangunan semula bandar.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad umum tawaran baharu kepada pemilik dan pewaris Kampung Baru pada Khamis lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2019.

Beliau bagaimanapun menegaskan, pembangunan yang hendak dilakukan haruslah melibatkan penyertaan penduduk Kampung Baru sendiri dan sama ada lot tanah akan dijual secara sukarela oleh pemiliknya ataupun tidak, kata putus adalah di tangan mereka.

“Pengambilan tanah penduduk Kampung Baru secara paksa (menerusi Akta Pengambilan Tanah 1960) hendaklah menjadi pilihan terakhir.

“Kerajaan perlu memikirkan apa yang terbaik bagi penduduk Kampung Baru bukan hanya apa yang terbaik untuk kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ujar beliau lagi, sama ada pembelian atau penjualan secara sukarela mahupun menerusi usaha sama antara penduduk/ pemilik lot tanah dengan pemaju, kedua-dua cara ini memerlukan proses perundingan yang rumit dan panjang.

Untuk meyakinkan penduduk Kampung Baru, kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci butiran rancangan pembangunan semula Kampung Baru sehingga mereka faham sepenuhnya apa yang akan dilakukan pada masa hadapan.

“Penduduk Kampung Baru perlu membuat keputusan berasaskan maklumat. Tidak adil dan tidak wajar bagi kerajaan meminta penduduk Kampung Baru membuat pilihan tanpa mereka mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan di kawasan mereka,” katanya.

Mahu kekalkan suasana kampung dalam kampung

Kampung Baru, berkeluasan sekitar 90.35 hektar merangkumi Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.

Setiap kampung mempunyai etnik dari negeri asal yang pelbagai, memberikan keunikan dan warna-warni pada masyarakat Kampung Baru.

Setiap kampung mempunyai etnik dari negeri asal yang pelbagai, memberikan keunikan dan warna-warni pada masyarakat Kampung Baru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2019.

Menurut bancian Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) pada 2010, jumlah penduduk di Kampung Baru adalah seramai 18,372 orang dan cadangan pembangunan semula Kampung Baru menyasarkan 160,000 penduduk pada 2050.

Jumlah kediaman di Kampung Baru pada masa kini pula antara 3,500 dan 4,000 unit. Pembangunan nanti akan memberi pertambahan sehingga 45,000 unit kediaman.

Setiausaha Pertubuhan Pemilik dan Waris Kampung Baru, Zainudin Ismail berkata penduduk Kampung Baru tidak pernah menolak pembangunan tetapi kurang bersetuju dengan pelan pembangunan semula yang dicadangkan kerajaan.

Beliau yang mewakili lebih 200 ahli yang terdiri daripada pemilik dan waris Kampung Baru berkata penduduk di Kampung Baru mahu mengekalkan suasana kampung di dalam kampung yang wujud lebih 100 tahun itu.

“Penduduk Kampung Baru sudah biasa dengan persekitaran di kampung masing-masing. Macam saya, berasal dari Kampung Atas A. Kami sudah hidup bermasyarakat dengan penduduk kampung di sini sejak sekian lama.

“Apabila kerajaan ambil tanah kami nanti, jika kami hendak beli rumah di Kampung Baru contohnya, sudah tentu, kami tidak akan dapat lagi beli di atas tanah di kampung asal kami dulu, mungkin di tanah Kampung Masjid. Jadi suasananya sudah berubah,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga tidak bersetuju dengan tawaran baharu RM1,000 setiap kaki persegi yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Menurut beliau, sepatutnya tanah di Kampung Baru dinilai dengan harga yang lebih tinggi daripada harga tersebut.

“Paling kurang RM1,300 bagi setiap kaki persegi. Nilai itu pernah diperoleh penduduk Kampung Baru terutama di Kampung Atas A, bagi pembayaran pengambilan tanah untuk pembinaan stesen MRT yang sedang dalam pembinaan sekarang ini,” katanya.

Bentangkan pelan pembangunan kampung baru

Beliau menambah, pemilik dan waris Kampung Baru sebenarnya ingin membangunkan Kampung Baru mengikut acuan mereka sendiri namun tidak dapat melaksanakannya disebabkan kekurangan modal.

Kata beliau, jika kerajaan ikhlas untuk membantu membangunkan semula Kampung Baru, sepatutnya peruntukan RM10 bilion bagi pembelian tanah itu diberikan untuk membantu penduduk membangunkan sendiri Kampung Baru.

“Ramai anak jati Kampung Baru yang berjaya dan kini menjadi pakar dalam bidang masing-masing termasuk dalam bidang arkitek, peguam, jurutera dan sebagainya.

“Mereka ini sedia untuk bersama-sama berganding bahu membangunkan semula kawasan di sini mengikut kehendak orang Kampung Baru,” katanya.

Zainudin berkata pihaknya juga telah merangka pelan pembangunan Kampung Baru dengan melibatkan pakar daripada pelbagai bidang yang terdiri daripada anak jati Kampung Baru.

Pelan tersebut akan dibentangkan kepada pemilik dan waris Kampung Baru dalam masa yang terdekat ini yang akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman.

Seramai lebih kurang 1,500 pemilik dan waris Kampung Baru akan dihimpunkan pada pertemuan itu nanti yang akan membincangkan hala tuju masa depan Kampung Baru.

“Secara dasarnya kami ada perancangan sendiri untuk membangunkan Kampung Baru. Kaedah yang paling sesuai diguna pakai di Kampung Baru adalah melalui pembangunan wakaf bagi memastikan hak milik tanah di Kampung Baru dipelihara,” katanya yang enggan menjelaskan lebih lanjut pembangunan semula yang dirancang.

Bangunkan Kampung Baru secara wakaf

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) Prof Dr Ismail Omar menyatakan, untuk membangunkan tanah di Kampung Baru, pihak kerajaan tidak semestinya membeli tanah dan pemilik pula tidak perlu menjualnya.

Pembangunan perlu melibatkan penyertaan penduduk Kampung Baru sendiri dan sama ada lot tanah akan dijual secara sukarela oleh pemiliknya ataupun tidak, kata putus di tangan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2019.

Demi mengekalkan kepentingan tanah untuk diwarisi pada masa hadapan tanpa jual beli tanah, tanah berkenaan boleh dimajukan melalui cara pajakan dan menggunakan konsep wakaf yang pelbagai.

“Salah satu alternatif yang paling baik adalah memajukan tanah menggunakan konsep wakaf.

“Wakaf tidak boleh dijual beli dan ia menjadi benteng penyelamat ummah. Ini merupakan pendekatan terbaik memajukan tanah di Kampung Baru tanpa menghakis pemilikan dan warisan hartanah berkenaan,” katanya.

Jelas beliau, terdapat pelbagai bentuk wakaf antaranya wakaf tunai, wakaf hartanah, wakaf pelaburan, wakaf rumah dan sebagainya yang boleh dimanfaatkan pemilik dan pihak berkepentingan.

Sekiranya pembangunan dijalankan, manfaat hasil pajakan atau sewaan bangunan akan diterima pewaris selama beberapa keturunan.

Ismail yang juga pensyarah kanan bidang pengurusan hartanah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia berkata wakaf bukan sahaja memberi manfaat pada masa hadapan malahan boleh membuka peluang pekerjaan baharu melalui pengurusan dan penyelenggaraan hartanah yang disiapkan nanti.

Ini kerana aset hartanah perlu diurus secara profesional supaya nilainya tidak merosot malah sentiasa meningkat.

Apabila nilai hartanah tidak diurus dan diselenggarakan dengan baik, banyak yang mengalami susut nilai dan disewa pada harga di bawah pasaran yang akan merugikan pemilik, katanya.

Beri pendapatan kepada kerajaan

Selain itu, melalui pembangunan wakaf ini juga, pihak kerajaan akan menerima pelbagai bentuk cukai daripada pembangunan yang disiapkan contohnya fi tukar syarat, fi cantuman tanah, fi pecah bahagi dan sebagainya semasa permohonan untuk memajukan tanah dikemukakan.

Setelah siap, kerajaan dapat mengutip cukai pintu yang dibayar dua kali setahun selain lesen perniagaan dan sebagainya.

Ismail menambah pembangunan semula tanah di Kampung Baru tidak semestinya berubah daripada rumah kediaman kepada bangunan pencakar langit.

Sekiranya rumah-rumah tradisional yang terdapat di Kampung Baru masih sesuai diduduki, barangkali dana dan insentif kewangan sahaja yang diperlukan untuk memajukannya semula.

Beliau mengambil contoh pihak Bandaraya London di United Kingdom dan banyak bandaraya lain di seluruh dunia yang membaik pulih dan menghias bangunan di sana tanpa melibatkan pembangunan semula secara keseluruhan.

“Tindakan ini tidaklah begitu sukar dan memakan modal yang kurang terutama apabila kedudukan kewangan negara berada dalam kemalapan. Pakar pemuliharaan bangunan boleh melakukannya dengan mengekalkan identiti Kampung Baru sebagai pusat budaya dan kesenian Melayu yang boleh dikenali seantero dunia,” katanya.

Kerajaan juga katanya akan menerima pendapatan melalui kegiatan pelancongan apabila pelbagai bentuk pelancongan seperti pelancongan bandar, warisan, pendidikan tradisional dan kesenian diwujudkan nanti. – Bernama, 9 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen