Antara 2009 hingga 2011, 1MDB pindahkan AS$1.83 bilion ke syarikat palsu


Bede Hong Timothy Achariam

Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata jumlah tersebut dipindahkan ke dalam syarikat dikawal sama ada oleh Low Taek Jho atau CEO PetroSaudi International Tarek Obaid.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 7 November, 2019.

AS$1.83 bilion (RM5.5 bilion ketika itu) dipindahkan daripada 1Malaysia Development Berhad kepada syarikat yang kemudiannya disahkan palsu oleh penyiasat, dedah fakta kes melibatkan Najib Razak hari ini.

Pemindahan itu berlaku bermula pada September 2009 sehingga Oktober 2011.

Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata jumlah tersebut dipindahkan ke dalam syarikat dikawal sama ada oleh Low Taek Jho atau CEO PetroSaudi International Tarek Obaid.

Transkasi itu melibatkan AS$300 juta daripada 1MDB kepada PetroSaudi Ltd dan AS$700 juta kepada Good Star Ltd pada 30 September 2009 yang sepatutnya menjadi pelaburan sebuah usaha sama sektor tenaga.

Siasatan kemudiannya mendapati yang Good Star dikawal Low, sementara syarikat usaha sama itu dikawal sepenuhnya oleh PetroSaudi International.

Pihak pendakwaan menuduh Low, Tarek dan Najib bersubahat menipu berbilion dana 1MDB.

Najib, yang ketika itu juga menteri kewangan adalah pemilik kepentingan tunggal 1MDB selaku ketua Menteri Kewangan Diperbadankan (MoFInc). Beliau juga adalah pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB.

Pada 14 September 2010, sebanyak AS$500 juta lagi dikeluarkan 1MDB untuk usaha sama 1MDB-PetroSaudi Ltd dalam sebahagian perjanjian pembiayaan Murabaha.

Antara 20 Mei 2011 dan 25 Oktober 2011 pula, empat lagi transaksi berjumlah AS$330 juta dipindahkan daripada 1MDB kepada Good Star, kata Shahrol kepada mahkamah ketika disoal balas oleh pihak pembelaan.

Saksi berusia 49 tahun itu berkata wang itu adalah sebahagian daripada perjanjian pembiayaan Murabaha untuk PetroSaudi International Ltd.

Jelasnya, selepas semua transaksi itu berlaku barulah diketahui yang Tarek memberikan nombor akaun Good Star di RBS Coutts Bank Ltd, Zurich dan bukannya nombor akaun PetroSaudi International. – 7 November, 2019.

 Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen