Mereka tidak sejahat yang saya gambarkan, kata Dr Mahathir


Amin Iskandar

Dr Mahathir Mohamad berkata usaha menjatuhkan Najib Razak menjadi penyatu dengan rakan pembangkang dan untuk merealisasikannya, mereka tidak berbicara tentang masa lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2017.

MENJELANG peringatan ulang tahun ke-30 Operasi Lalang, pemimpin yang memantau dan mengesahkan penahanan 106 aktivis dan ahli politik itu mengulangi yang beliau secara tidak langsung terheret dalam tindakan besar-besaran polis itu.

Tetapi 30 tahun kemudian, Dr Mahathir Mohamad mengaku satu perkara: kebanyakan mereka yang ditahan itu orang baik dan beliau memburuk-burukkan mereka ketika itu untuk menang pilihan raya.

“Masa saya dalam kerajaan, saya memburuk-burukkan mereka. Kerana saya nak menang pilihan raya. Tetapi mereka tidaklah seteruk yang saya gambarkan dulu.

“Sekarang saya bersama mereka. Saya bekerjasama dengan mereka,” kata Dr Mahathir kepada The Malaysian Insight.

Dr Mahathir bagaimanapun tidak memberikan sebarang bayangan beliau akan meminta maaf kepada mereka yang kini dekat dengannya walaupun isu itu sudah dibangkitkan beberapa kali sebelum ini.

Tuntutan minta maaf yang terbaru ialah daripada bekas tahanan Ops Lalang, Kua Kia Soong, seorang bekas aktivis yang juga bekas ahli Parlimen DAP antara 1990-1995 serta seorang pendidik dan penulis.

Dalam satu kenyataan media baru-baru ini, Kua mengatakan Dr Mahathir sememangnya tidak mahu meminta maaf.

Bagi Dr Mahathir, beliau tidak bertanggungjawab atas operasi itu.

Dr Mahathir berkata, pada ketika itu beliau memberitahu polis agar tidak menahan pemimpin politik dan aktivis ini tetapi arahannya tidak didengar.

“Saya tidak bersetuju. Saya minta polis patut terima, kita mesti hapuskan ISA.

“Polis tak bersetuju. Saya, tertakluk kepada nasihat keselamatan daripada polis. Saya tak boleh lawan dengan polis,” kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu itu dalam wawancara bersama The Malaysian Insight.

Daripada 40 orang yang kemudiannya dipenjara tanpa bicara pada 1987 termasuklah rakan-rakan Dr Mahathir dalam PH sekarang iaitu Mohamad Sabu, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan ramai lagi.

Aktivis sosial, Yunus Ali, yang juga suami Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah, turut ditahan.

“Saya tak ada terlibat dalam tu. Dia (polis) cuma tahan, saya kena tanda tangan. Nak bebas apa semua saya tandatangan. Sebab itu tak lama tahan. Kebanyakannya dibebaskan selepas dua bulan.

“Sebab saya tak suka ISA. Saya nak mansuhkan ISA. Tetapi polis kata ISA diperlukan. Saya ada rekod tentang Hanif (Omar) berkata dia adalah penasihat keselamatan saya,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Hanif yang merupakan ketua polis negara pada ketika itu berkata, perdana menteri perlu mendengar nasihatnya dalam isu keselamatan negara.

“Dia kata macam tu. Dan memang pun saya tak menentang polis sebab saya bergantung kepada polis. Keselamatan semua kerja polis.

“Jadi kalau dia kata kena tangkap orang ini, tangkaplah. Tetapi setakat yang boleh, secepat mungkin saya bebaskan,” katanya.

Dalam satu wawancara dengan portal berita Malaysiakini sebelum itu, Hanif berkata Dr Mahathir tidak mengeluarkan arahan kepadanya untuk menahan pemimpin politik dan aktivis sosial.

“Anda tidak boleh menyalahkan beliau. Beliau (bercakap) benar… Sebenarnya, ia adalah keputusan pihak polis sepenuhnya. Ia bukan keputusannya (Dr Mahathir).”

Berikut adalah sedutan wawancara The Malaysian Insight bersama Dr Mahathir:

Soalan: Sempena ulangtahun ke-30 Operasi Lalang 1987, kami nak minta sedikit padangan Tun. Apa perlunya Operasi Lalang?

Dr Mahathir: Saya memberi arahan kepada polis, jangan masukkan tahanan orang-orang ini, tetapi pada ketika itu polis bebas. Mereka ditahan ada sebabnya.

Sebab saya tak suka ISA. Saya nak mansuhkan ISA tetapi polis kata ISA diperlukan.

Soalan: Sekarang ini kebanyakan orang yang Tun tahan semasa Operasi Lalang seperti Mohamad Sabu, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Khalid Samad dan Mahfuz Omar bekerjasama dengan Tun. Apa perasaan Tun?

Dr Mahathir: Masa saya dalam kerajaan, saya memburuk-burukkan mereka. Kerana saya nak menang pilihan raya. Tetapi mereka tidaklah seteruk yang saya gambarkan dulu.

Sekarang saya bersama mereka. Saya datang bersama mereka. Pertama kerana Deklarasi Rakyat. Pada masa itu mereka menyokong. Ia adalah inisiatif saya untuk memulakan Deklarasi Rakyat, badan bukan kerajaan dan parti pembangkang semuanya menyokong.

Itu sebabnya saya menjadi rapat dengan mereka. Selepas itu kerana Deklarasi Rakyat tidak berjaya, kita berbincang tentang bagaimana untuk menjatuhkan Najib. Dan mereka bersetuju dengan saya bahawa Najib mesti digulingkan.

Ia merupakan isu lebih besar berbanding pergaduhan sesama kami dahulu. Disebabkan isu ini. Untuk menjatuhkan Najib (Razak) kami semua bersetuju. Kami tidak bercakap tentang masa lalu.

Dulu memang kami bergaduh sesama sendiri. Ia bukanlah satu perkara aneh untuk seseorang bergerak dari satu parti ke parti yang lain. Dalam kes saya, saya hanya tidak boleh tahan dengan Najib.

Sebab dia mempunyai rekod curi duit. Menggunakan wang untuk dapat sokongan. Ini yang saya tak setuju. Masa saya dulu saya tak beri wang kepada orang.

Jadi orang-orang ini (pemimpin pembangkang) menentang Najib, saya menentang Najib. Jadi kami bekerjasamalah. – 22 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen