Polis Indonesia tahan 2 suspek kes bunuh wartawan


POLIS Indonesia menahan dua lelaki berhubung kes pembunuhan kejam dua wartawan yang menjadi orang tengah dalam pertikaian tanah antara syarikat kelapa sawit dengan penduduk.

Mayat Maraden Sianipar ditemui dengan beberapa kesan tikaman pada Rabu lalu, di dalam parit dekat ladang kelapa sawit di daerah Labuhan Batu.

Manakala mayat Maratua Siregar, juga dengan kesan tikaman, ditemui di kawasan sama sehari kemudian.

Polis kini memburu empat lagi suspek. Kesemua suspek mungkin berdepan hukuman mati jika disabitkan bersalah, tambah polis.

“Motif pembunuhan adalah dendam dan ada kaitan dengan pertikaian tanah ladang kelapa sawit,” kata ketua detektif, Jama Kita Purba.

“Kami masih menyiasat dengan lebih lanjut.”

Sianipar and Siregar bekerja dengan portal berita tempatan yang sama sebelum bekerja secara bebas pada 2017.

Seorang rakan Siregar berkata mangsa dikenali kerana terlibat dalam isu pertikaian tanah.

Persatuan wartawan Indonesia mengutuk pembunuhan Siregar dan Sianipar, dan menuntut pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh. – AFP, 5 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen