Hakim, pendakwa, peguam didakwa rasuah esok


SPRM mengeluarkan kenyataan pendakwaan terhadap tiga pegawai kanan mahkamah berhubung kes rasuah esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2019.

SEORANG hakim Mahkamah Sesyen, timbalan pendakwa raya dan peguam akan didakwa berhubung rasuah di Shah Alam esok, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini, SPRM mengenal pasti mereka sebagai Hakim Azmil Muntapha Abas, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azhwa Yusrie Mohamad dan peguam Noor Amirul Nazreen Anas.

Menurut kenyataan itu, mereka akan didakwa dengan beberapa kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Seorang sumber berkata ketiga-tiganya disiasat kerana didakwa menerima rasuah bagi melepaskan beberapa pendatang tanpa izin.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan sembilan orang, termasuk hakim Mahkamah Sesyen, DPP dan seorang peguam ditangkap oleh SPRM kerana didakwa mengambil rasuah sebagai balasan bagi pembebasan sembilan pendatang tanpa izin yang ditahan di Kuala Kubu Baru.

Dilaporkan hakim 45 tahun itu adalah sebahagian mereka yang terlibat membebaskan pendatang tanpa izin yang ditangkap sebagai pertukaran wang tunai.

Dilaporkan lima anggota polis, yang merupakan pegawai penyiasat kes itu, dan pegawai polis mahkamah juga ditahan oleh badan antirasuah.

The Malaysian Insight melaporkan SPRM menemui RM17,500 dengan peguam, yang dikatakan bertujuan membantu membebaskan sembilan pendatang tanpa izin.

Sebanyak RM85,000 ditemui yang dipercayai hasil kegiatan haram, turut dirampas daripada DPP. – 5 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen