DAP gesa Putrajaya jelaskan kenapa LTTE disenarai kumpulan pengganas


Lim, yang juga Ahli Parlimen Bagan dan Menteri Kewangan, berkata DAP menyambut baik jaminan oleh Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin bahawa polis akan menyiasat dakwaan penyeksaan dan pemaksaan akuan yang dialami oleh beberapa tertuduh semasa dalam tahanan polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2019.

ORANG ramai akan mempersoalkan tindakan polis baru-baru ini terhadap mereka yang ditahan kerana disyaki memiliki hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sedangkan kumpulan itu telah dibubarkan dan tidak disebut dalam laporan kerajaan Amerika Syarikat mengenai keganasan, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Beliau menggesa Putrajaya menerangkan Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai aktiviti keganasan bagi 2018 yang mengatakan Malaysia kekal sebagai “sumber dan titik transit” bagi kumpulan pengganas seperti Daesh (IS), walaupun negara ini telah meningkatkan usaha anti keganasannya.

“DAP berharap polis dapat jelaskan laporan ... Laporan kerajaan AS mengenai aktiviti keganasan itu tidak sebut LTTE.

“Keprihatinan orang ramai hanya akan membangkit dan mempertikaikan tindakan polis baru-baru ini terhadap individu yang didakwa memiliki hubungan dengan LTTE, sedangkan LTTE sudah dibubarkan, berbanding kumpulan pengganas aktif seperti IS, Abu Sayyaf, al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah (JI),” kata Lim dalam ucapannya di konvensyen tahunan DAP Johor di Muar hari ini.

Adun DAP dan tiga ahli parti itu adalah antara 12 lelaki yang ditangkap dan didakwa baru-baru ini di bawah Kanun Keseksaan kerana didakwa menyokong LTTE. Semua tangkapan mereka dibuat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma), sebuah akta yang DAP gesa untuk ia dimansuhkan.

Laporan yang dikeluarkan pada hari Jumaat itu mengemukakan empat insiden berkaitan keganasan, tetapi menyatakan tidak ada serangan Daesh dan sekutunya terhadap Malaysia pada tahun lepas.

Bagaimanapun, laporan itu berkata Malaysia masih “kekal sebagai hab sumber dan titik transit, dan menjadi destinasi pilihan bagi kumpulan pengganas, termasuk IS, Abu Sayyaf, al-Qaeda dan JI”.

Lim, yang juga Ahli Parlimen Bagan dan Menteri Kewangan, berkata DAP menyambut baik jaminan oleh Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin bahawa polis akan menyiasat dakwaan penyeksaan dan pemaksaan akuan yang dialami oleh beberapa tertuduh semasa dalam tahanan polis.

Lim juga mengalu-alukan kenyataan Muhyiddin bahawa dakwaan pengganas dan konspirasi komunis DAP adalah sebuah pembohongan. β€“ 3 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen