Media tempatan dan luar takjub dengan pendapat tajam Dr Mahathir


Pendapat tajam dan analitikal Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendapat perhatian media tempatan dan luar yang membuat liputan Persidangan Perniagaan dan Pelaburan Asean hari ini. – Gambar EPA, 2 November, 2019.

MEDIA tempatan dan luar yang membuat liputan Persidangan Perniagaan dan Pelaburan Asean hari ini merasa takjub dengan pendapat tajam dan analitikal Dr Mahathir berhubung pelbagai isu semasa yang dibangkitkan.

Semasa sesi dialog yang berlangsung selama 45 minit itu, perdana menteri bukan sahaja menarik perhatian media malah mereka pulang dengan rasa kagum.

“Beliau seorang pemimpin yang tajam dan cemerlang,” kata seorang pemberita tempatan Thailand, Sirinet Domrongkitiphan.

Sirinet berkata, ide dan pandangan Dr Mahathir boleh diguna pakai di negara lain termasuk Thailand. 

“Saya suka ide beliau bahawa Aseana perlu berdiri teguh bersama untuk berkembang lebih pantas dan elak daripada dibuli jika kita bersendirian,” katanya.

Sementara itu, seorang wartawan antarabangsa berkata Dr Mahathir selalu memberi idea segar dan pelbagai bentuk pandangan.

“Ia adalah pembuka mata kepada wartawan tempatan dan antarabangsa pada dialog hari ini,” katanya.

Manakala seorang lagi wartawan tempatan Thailand yang enggan dikenali berkata, beliau seronok mendengar sesi apabila Dr Mahathir berkongsi tip beliau sentiasa sihat.

“Saya berharap beliau dapat menulis tip kesihatan beliau tidak lama lagi,” katanya.

Semakan segera dalam media Thailand, tip kesihatan Dr Mahathir dilaporkan dengan meluas dalam talian. – Bernama, 2 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen