Penahanan Shafie arahan Najib, kata Dr Mahathir


PENAHANAN serta siasatan terhadap Presiden Parti Warisan Shafie Apdal adalah arahan Perdana Menteri Najib Razak dan ia bertujuan untuk melemahkan parti pembangkang, kata Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad hari ini.

“Kali ini, (Perdana Menteri) Najib mengarah SPRM menangkap pemimpin-pemimpin parti lawan (Warisan) di Sabah.

“Matlamatnya ialah untuk melumpuhkan Warisan dengan menangkap Shafie Apdal dan menakutkan penyokongnya,” kata bekas perdana menteri itu dalam blognya hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata ini adalah sebahagian daripada usaha Najib untuk “menipu” dalam pilihan raya.

Shafie ditahan malam tadi dan ditahan semula untuk 4 hari sebagai sebahagian daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penyelewengan RM1.5 juta dalam dana persekutuan bagi projek pembangunan luar bandar di Sabah dari 2009 hingga 2015.

Ketika itu, shafie merupakan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah sebelum dipecat daripada kerajaan oleh Najib.

Beberapa pemimpin Warisan juga ditahan untuk siasatan.

Dr Mahathir mendakwa pegawai kerajaan di pelbagai agensi termasuk SPRM diugut untuk “melaksanakan arahan Najib” atau diturun pangkat, ditukar ke jawatan lain yang lebih rendah, dimansuh hak pencen dan bermacam lagi.

Beliau menggesa penjawat awam agar tidak takut untuk menolak arahan tersebut.

Kata Dr Mahathir lagi, jika PH menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 dan mengambil alih Putrajaya, kerajaan PH akan akan mengembalikan semula apa sahaja yang penjawat awam hilang kerana enggan mematuhi arahan tersebut.

“Kami berjanji jika kakitangan kerajaan yang mengurus PRU diugut dan didera oleh Najib dan kehilangan gaji, pangkat atau jawatan, kami akan pulih balik mereka dan pendapatan mereka. Mereka akan kembali pegang jawatan yang telah dilucut dari mereka. Demikian juga mereka yang memberi maklumat kepada kami akan salah cara dan penipuan Najib. Kami akan selamatkan mereka,” kata Dr Mahathir. – 20 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen