Jika Shafie ditangkap, Warisan tak akan mengalah malah makin gagah


Noor Azam Shairi Jason Santos

Presiden Parti Warisan Sabah, Shafie Apdal di rumahnya di Taman Golf View Penampang sebelum bergerak ke pejabat SPRM untuk memberikan keterangan skandal penyelewengan RM1.5 bilion.– Gambar The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2017.

PARTI Warisan Sabah tidak akan mengalah kalau Presidennya Shafie Apdal ditangkap malah akan jadi lebih kuat dalam perjuangan mendapatkan semula hak rakyat Sabah, kata pemimpin parti itu.

Petang tadi, Shafie ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu untuk diambil keterangannya. Beliau tiba di Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur lebih kurang pukul 3.45 petang tadi.

Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking berkata Warisan ditubuhkan bukan kerana nasib politik Shafie atau sesiapa pun tetapi Warisan ditubuhkan semata-mata untuk memperjuangkan hak rakyat Sabah.

“Ini bukan tentang dia, bukan juga tentang saya atau mana-mana individu. Ini tentang perjuangan (untuk Sabah),” katanya kepada The Malaysian Insight pada satu pertemuan di Kota Kinabalu, minggu ini.

Menurut Leiking, Shafie akan terus kekal memimpin Warisan sehingga beliau disabitkan kesalahan, sekiranya sampai ke peringkat itu.

Kalau sampai ke peringkat itu pun, katanya, Warisan tidak akan berdepan masalah kerana tidak seperti parti politik lain, yang bergantung pada politik naungan, ia akan berpegang pada asas falsafah perjuangan yang sudah diterapkan oleh Shafie.

“Lihat Umno sebagai contoh. Ia bermula dengan sebuah misi dan itulah sebabnya walaupun pemimpinnya berganti, parti itu berterusan.

“Tetapi Umno sekarang semuanya tentang naungan. Daripada pengamatan saya, Umno kini bukan lagi sebuah parti perjuangan tetapi parti untuk individu. Umno sudah berubah.

“Dalam kes Warisan, saya tahu banyak orang fikir ia tentang Shafie. Tetapi kami ketika memulakan parti ini setahun yang lalu, ia tidak pernah tentang sesiapa pun antara kami. Ia hanya tentang Sabah,” kata Leiking.

Warisan menyambut ulang tahunnya yang pertama pada 17 Oktober lalu, tanpa sebarang majlis sambutan besar-besaran tetapi hanya ucapan beberapa pemimpin utamanya yang disebarkan melalui Facebook Live.

Sementara it, Naib Presiden Warisan, Junz Wong berkata penangkapan Shafie, jika berlaku, pasti akan meningkatkan lagi sokongan kepada Warisan.

“Kita akan menang lebih besar lagi (dalam pilihan raya),” katanya, yang menyifatkan episod siasatan SPRM ini sebagai tindakan politik.

“Tidak ada orang akan percaya penangkapan ini, sekiranya berlaku, adalah kerana mereka perlu menangkapnya.”

Katanya, kali terakhir tindakan politik seperti ini berlaku di Sabah, PBS menang besar dalam pilihan raya kilat yang diadakan pada 1986, setahun selepas pilihan raya negeri pada 1985.

Dalam pilihan raya itu, kerajaan negeri Barisan Nasional yang diwakili oleh Berjaya pimpinan Harris Salleh kalah.

Pilihan raya yang kedua itu diadakan ketika kemuncak krisis Perlembagaan berkaitan soal penentuan siapa yang sepatutnya jadi ketua menteri Sabah pada masa itu, antara Mustapha Datu Harun yang mengetuai Usno ataupun Joseph Pairin Kitingan yang memimpin PBS.

Krisis perlembagaan itu juga meningkatkan lagi sentimen anti BN, anti Usno dan anti Berjaya, serta sokongan rakyat Sabah kepada PBS.

Tambah Wong, Warisan sudah bersedia untuk menghadapi apa saja “taktik menekan yang dipakai oleh kerajaan yang memerintah” untuk menyekat kebangkitan rakyat menyokong mereka.

“Banyak pemimpin kami juga jadi sasaran dan dipanggil oleh polis untuk siasatan kononnya perhimpunan haram dan entah apa-apa lagi.

“Kami siap sedia.” – 19 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen