Ramkarpal fail cabar penahanan 2 adun DAP terlibat LTTE esok


Seramai 12 individu ditahan dua minggu lalu di bawah Sosma kerana disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas LTTE. - Gambar fail polis, 20 Oktober, 2019.

PEGUAM yang mewakili lima suspek yang ditahan dipercayai terlibat dalam perjuangan kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) akan memfailkan permohonan mencabar penahanan polis terhadap mereka esok.

Lima suspek berkenaan termasuk dua wakil rakyat DAP – Adun Gadek G Saminathan dan Adun Seremban Jaya P Gunasekaran.

Tiga yang lain ialah S Chandru, V Suresh Kumar dan S Arivainthan.

Mereka di antara 12 individu yang ditahan dua minggu lalu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas LTTE.

Sosma membenarkan mereka ditahan selama 28 hari.

Kelima-lima mereka akan diwakili peguam DAP.

Ahli Parlimen DAP dan peguam Ramkarpal Singh berkata dalam satu kenyataan hari ini, permohonan mendapatkan perintah pembebasan habeas corpus akan difailkan pada 12 tengah hari Isnin ini di Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta. 

Habeas corpus adalah perintah mahkamah supaya seseorang dilepaskan dari penahanan yang tidak mengikut undang-undang.

Awal minggu ini seorang lagi tahanan turut memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Peguamnya S Selvam semalam berkata, permohonan anak guamnya akan didengar oleh Mahkamah Shah Alam pagi esok.

Selvam berkata anak guamnya merupakan pengendali restoran berusia 57 tahun dari Sungai Buloh, Selangor. 

Lelaki itu antara kumpulan pertama tujuh suspek yang ditahan oleh Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman pada 10 Oktober.

Selvam berkata, anak guamnya ditahan kerana membuat dua klip video untuk menyuarakan sokongannya terhadap LTTE. – 20 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen