Dakwaan PAS terima dana 1MDB masih diteliti, kata SPRM


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Latheefa Koya berkata ia antara kes berkepentingan awam dan melibatkan orang kenamaan yang diteliti semula.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2019.

KES yang mempunyai kepentingan awam seperti tuduhan parti PAS menerima dana 1MDB melalui Umno masih diteliti, kata Latheefa Koya.

Ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia itu berkata ia antara kes berkepentingan awam dan melibatkan orang kenamaan yang diteliti semula.

“Ada kes yang saya perlu sendiri lihat, apa yang terjadi. Daripada kertas siasatan yang saya lihat itu, ada yang perlu semak semula manakala ada juga yang sudah dalam kategori untuk didakwa,” katanya.

Latheefa bercakap kepada wartawan selepas menghadiri Sambutan Hari Integriti di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Beliau ditanya status siasatan ke atas parti PAS berhubung dakwaan menerima dana puluhan juta ringgit daripada daripada 1MDB melalui Umno.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata, agensi itu akan membawa kes itu ke mahkamah selepas bersedia untuk berbuat demikian.

Tuduhan melibatkan PAS itu muncul dalam tulisan Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang diterbitkan portal berkenaan.

Dakwanya ada pemimpin tertinggi PAS menerima RM90 juta untuk mendorong parti itu bekerjasama dengan Umno dan BN.

Tulisan itu menyebabkan Rewcastle-Brown disaman oleh Prediden PAS Abdul Hadi Awang di Mahkamah London.

Abdul Hadi bagaimanapun kemudian menarik balik saman ke atas Rewcastle-Brown dan menyelesaikannya luar mahkamah.

Tuduhan berkenaan bagaimanapun kekal di portal Sarawak Report dan tidak ditarik balik.

Susulan itu, beberapa pemimpin PAS dipanggil bagi memberi keterangan membantu siasatan SPRM.

Ia termasuk Mursyidul Am PAS Hashim Jasin, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, anggota Exco Nasir Daud dan bekas timbalan presidennya, Nasharudin Mat Isa. – 15 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen