Ahli PAS antara 12 ditahan kerana LTTE, kata sumber polis


Alfian Z.M. Tahir

U S Subramaniam (tiga dari kanan) adalah ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), sayap parti Islam itu khas untuk orang bukan Islam. – Gambar The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2019.

SEORANG ahli PAS adalah salah seorang daripada 12 suspek yang ditahan berkaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam minggu lepas, kata sumber polis. 

Sumber memberitahu The Malaysian Insight yang suspek itu, U S Subramaniam adalah ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), sayap parti itu untuk orang bukan Islam. 

Maklumat itu terdedah ketika pemimpin PAS asyik mengecam DAP selepas dua Adunnya ditahan dalam operasi besar-besaran menghapuskan pengaruh LTTE di Malaysia itu. Mereka turut meminta beberapa pemimpin DAP seperti P Ramasamy dan M Kula Segaran disiasat kerana kes itu. 

Pemimpin PAS dan beberapa pemimpin luar seperti Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin turut menggesa parti sosialis itu disiasat kerana menyokong keganasan susulan tangkapan itu. 

DAP juga mendapat kecaman hebat di media sosial selepas beberapa orang pemimpinnya mengecam penahanan dua Adun itu. 

Sumber Bahagian Cawangan Khas Anti Keganasan (E8) Bukit Aman mengesahkan penahanan Subramaniam. 

“Ya, dia daripada parti Islam itu tetapi dia ahli sayap parti penyokong bukan Islam,” kata sumber. 

Sumber itu juga mendedahkan Subramaniam sebelum itu adalah ahli Parti Progresif Penduduk (PPP). 

“Dia sertai PAS daripada PPP,” tambah sumber. 

Seorang pegawai DHPP bagaimanapun, memberitahu The Malaysian Insight yang Subramaniam sudah keluar PAS pada 21 Mei 2018. 

“Dia sertai DHPP pada 14 Januari 2018 tetapi berhenti pada Mei tahun sama. Kami ada surat perletakan keahliannya,” kata pegawai itu yang tidak mahu namanya disebut kerana beliau tidak berkuasa mengeluarkan kenyataan rasmi. 

U.S. Subramaniam ditahan Khamis lepas di Selangor. – Gambar ehsan PDRM, 15 Oktober, 2019.

Pemeriksaan The Malaysian Insight di akaun media sosialnya juga mendapati Subramaniam adalah penyokong kuat Najib Razak. Catatan di Facebooknya didapati banyak berkongsi berita Najib. 

Subramaniam juga aktif menghasilkan video di YouTube, bercakap tentang pelbagai isu semasa. Videonya kerap dikongsi secara meluas di WhatsApp. 

“Dia ditahan pada Khamis lepas di Selangor. Hari sama polis menahan dua ahli DAP,” kata sumber polis. 

Dua Adun DAP yang ditahan adalah Adun Gadek G Saminathan yang juga exco Melaka serta Adun Seremban Jaya P Gunasekaren. 

Setakat ini, polis sudah menahan 12 orang di beberapa lokasi di Selangor, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang membenarkan penahanan tanpa bicara selama 28 hari. 

Polis juga mendedahkan beberapa “orang penting VIP” sedang dalam pemantauan kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas yang sudah bubar itu. – 15 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen