5 desakan Kelab Veteran Utusan Melayu Malaysia


KAMI yang tercatat namanya di bawah ini mewakili mantan petugas syarikat Utusan Melayu, termasuk ahli-ahli Kelab Veteran Utusan Melayu Malaysia (KVUM).

Apa yang berlaku pada Utusan Melayu sudah tentu memeranjatkan kami. Kami tidak pernah menjangka bahawa syarikat yang berusia 80 tahun ini akan berakhir dengan cara begini. Syarikat ini diasaskan pada tahun 1939 oleh Allahyarham Yusof Ishak dan Bapa Kewartawanan Melayu Abdul Rahim Kajai.

Melalui akhbarnya yang pertama, Utusan Melayu dalam tulisan jawi, ia menjuarai kepentingan orang Melayu dan telah menjadi suara yang dihormati dan digeruni. “Brand Utusan” merupakan sesuatu yang unik yang meletakkan  syarikat itu sebagai syarikat akhbar Melayu yang utama di negara ini.

Dengan pemberhentian perniagaan syarikat ini maka sia-sialah segala hasil penat lelah, keringat dan air mata pengasas, pejuang dan mereka yang pernah berkhidmat di Utusan Melayu sejak 80 tahun yang lalu. 

Ironinya syarikat yang dianggap “suara keramat orang Melayu” ini gulung tikar secara rasmi tiga hari selepas Kongres Maruah Melayu di Shah Alam pada 6 Oktober 2019.

Kami memahami apa yang berlaku pada industri media khususnya yang membabitkan persuratkhabaran pada masa ini. Hampir semua akhbar menghadapi masalah. Kami faham bahawa akhbar terbitan syarikat ini, baik Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan kedua-dua edisi Kosmo untuk harian dan mingguan menghadapi masalah jualan dan pendapatan iklan.

Kami tidak berniat untuk menuding jari mencari siapa yang bertanggungjawa menyebabkan syarikat Utusan Melayu dan akhbar terbitannya berada pada kedudukan hari ini. 

Pada 9 Oktober yang baru lalu, petugas Utusan Melayu dikejutkan dengan memorandum dari Pengerusi Eksekutif syarikat yang memaklumkan tentang pemberhentian operasi perniagaan syarikat.

Memorandum itu menyebutkan bahawa Lembaga Pengarah “telah pada 7 Oktober 2019 meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang  (Creditors’ Voluntary Liquidation). Memorandum itu juga menyebutkan bahawa UHY Advisory (KL) Sdn Bhd telah dilantik sebagai Pelikuidasi Interim (Interim Liquidator).”

Memorandum itu juga memaklumkan bahawa  tarikh akhir bekerja bagi petugas adalah Rabu, 9 Oktober 2019. 

Dengan memorandum itu, berkuburlah syarikat Utusan Melayu. Juga tamatlah pekerjaan bagi lebih 800 orang petugas Utusan pada masa ini. 

Kami difahamkan bahawa syarikat tidak ada opsyen yang lain melainkan tindakan drastik ini. Kami percaya Lembaga Pengarah telah memikirkan pelbagai opsyen lain bagi menyelamatkan syarikat ini tetapi gagal.

Bagaimanapun apa yang kami kesalkan ialah tindakan ini sama sekali tidak mengambilkira kepentingan petugas yang telah memberikan dedikasi dan khidmat cemerlang pada syarikat  selama ini.

Tindakan ini juga memperlihatkan kegagalan pemilik yang mengambilalih syarikat ini untuk memperbaiki keadaan serta  memberi nilai tambah pada Utusan Melayu. 

Apakah muslihat mengambil alih syarikat sekiranya dari awal mereka tahu mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkannya, malah memburukkan lagi keadaan?

Kami juga mendapat kesan bahawa pihak pengurusan baharu hanya berminat untuk menyelamatkan lesen Utusan Malaysia dan edisi Ahadnya serta Kosmo dan edisi Ahadnya kerana kesemua “brand” itu ada nilai ekonominya.

Kami kesal bahawa perhatian nampaknya kurang diberikan pada 800 petugas sedia ada. Sayogia diingat bahawa 800 orang lain telah mengambil VSS (Pemberhentian Kerja Secara Sukarela) sebelum ini.

Seramai 1,600 orang terjejas dengan pemberhentian kali ini dan mereka yang mengambil VSS,  menjadikan lebih kurang 6,400 orang petugas dan anggota keluarga terjejas. 

Berikut adalah pandangan kami:

  1. Kami menggesa  Kementerian Sumber Manusia meneliti sama ada tindakan syarikat berbuat demikian mengikut lunas-lunas peruntukan Akta Pekerjaan (Employment Act) atau sebarang akta berkaitan yang sedia ada. Kami khuatir ia akan menjadi precedent bagi syarikat lain mencari jalan mudah bagi menyelesaikan masalah mereka. Tindakan pemberhentian operasi perniagaan syarikat cara ini ini akan menyelamatkan puluhan juta ringgit bagi pemilik baharu yang tidak perlu melalui proses VSS atau MSS (Mutual/Mandatory Separation Scheme).

  2. Kami juga menggesa agar syarikat mengambil kira kebajikan petugas yang diberhentikan. Mereka tidak hanya perlu dibayar gaji tertunggak selama ini, serta gaji sehingga tarikh akhir bekerja pada 31 Oktober 2019, tetapi menimbangkan pampasan lain yang difikirkan perlu. Kami juga mahukan syarikat melunaskan semua bayaran tertunggak bagi mereka yang mengambil VSS sebelum ini. 

  3. Kami juga meminta agar dipertimbangkan sebarang faedah perkhidmatan yang munasabah seperti tuntutan perjalanan dan perubatan termasuk bayaran ganjaran graduiti yang tidak dibayar sejak setahun lalu. 

  4. Kami meminta syarikat Pelikuidasi Interim yang dilantik, UHY Advisory (KL) Sdn Bhd bertindak telus dengan membenarkan peguam bagi pihak petugas yang diwakili oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) cawangan Utusan Melayu dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Akhbar (KKPA) cawangan Utusan Melayu memantau penjualan asset untuk tujuan membayar hutang. Ini bagi mengelakkan sebarang penyelewengan berlaku.

  5. Kami meminta agar syarikat baharu yang mengambilalih lesen penerbitan akhbar milik Utusan Melayu mengutamakan mantan wartawan Utusan sekiranya mahu memulakan penerbitan baharu.

Dengan ini, kami meminta semua petugas syarikat yang terjejas dengan pemberhentian ini agar bersabar dalam menghadapi cabaran getir ini.  Kami mendoakan mereka dirahmati Allah dan diberikan hidayah serta petunjuk pada waktu yang sukar ini.

Sekian, terima kasih.

* Kenyataan dikeluarkan atas nama berikut: Khalid Yunus, Suleiman Mohamed, Johan Jaaffar, Azim Aras, Rosnah Majid, Roseminah Ahmad, Rosle Azmi, Ku Seman Ku Hussain bagi pihak KVUM dan mantan petugas Utusan Melayu.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen