Kenapa Kerajaan Pakatan Harapan mesti dipertahankan


KITA harus berlaku jujur. Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai adalah sukar bagi Pakatan Harapan.

Pun begitu, adalah penting bagi kita rakyat Malaysia untuk mempertahankan Kerajaan Harapan daripada dihancurkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang menjadikan isu perkauman sebagai senjata, untuk memecahbelahkan masyarakat.

Pembangkang, iaitu gabungan PAS-UMNO, langsung tidak ada idea serius untuk rakyat, melainkan bercakap berulang-ulang dengan modal kebimbangan agama dan perkauman melampau. Mereka tidak berminat untuk bersaing dengan kerajaan dari sudut dasar-dasar awam.

Contohnya, Belanjawan 2020 telah menunjukkan bahawa ia bukan sahaja akan merangsang ekonomi, bahkan mencipta peluang pekerjaan dan memperbaiki kelangsungan hidup rakyat.

Namun, gabungan PAS-UMNO tidak mempunyai pemikiran dasar dan polisi. Belanjawan Alternatif pun mereka tidak mampu buat. Tiada sebarang usaha daripada pihak mereka untuk membahaskan dasar awam secara rasional.

Gabungan politik berasaskan kaum ini, yang turut disokong MCA dan MIC, sedang mempergunakan kaum dan agama sebagai senjata politik untuk menentang kerajaan.

Dalam kalangan orang Melayu, gabungan PAS-UMNO terus menyebarkan dakyah kononnya DAP, terutamanya Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang, mengawal dan menundukkan kerajaan. 

Di pihak bukan-Melayu pula, MCA dan MIC menjalankan propaganda kononnya DAP dikawal oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengutamakan kepentingan Melayu berbanding yang lain.

Biar saya perbetulkan fakta. Itu semua adalah pembohongan semata-mata. Bagaimana mungkin ia benar sedangkan kedua-dua pembohongan itu saling berlawanan sama sendiri. Ini tidak masuk akal.

Sekiranya rakyat Malaysia menelan bulat-bulat tipu daya ini, bersedialah untuk menyaksikan kembalinya pemerintahan Najib Razak pada pertengahan penggal. 

Pakatan Harapan mungkin sahaja menjadi kerajaan setengah penggal; atau sebaliknya mentadbir selama sekurang-kurangnya dua penggal sekiranya ia berjaya bertahan di tengah-tengah usaha memecahkan gabungan melalui mobilisasi perkauman.

Apa yang kita perlukan sekarang ialah pembangkang yang bertanggungjawab, demi kebaikan negara.

Malaysia memerlukan pembangkang yang mampu mencabar dan bersaing dengan kerajaan dalam hal dasar dan polisi awam, bukannya pembangkang yang mempermainkan isu perkauman dengan menyebarkan berita palsu atau khabar-khabar sekerat tanpa konteks, hanya untuk menghakis kredibiliti dan keabsahan kerajaan.

Mana-mana parti yang mahu mentadbir Malaysia mestilah mendapat sokongan semua kaum. Kita mesti ada rasa saling hormat menghormati antara semua kaum.

Pakatan Harapan tidak akan jadi sebuah parti yang lebih Melayu berbanding UMNO, lebih Islam daripada PAS, atau lebih Cina daripada MCA, lebih India daripada MIC. 

Pakatan Harapan juga adalah parti untuk semua kawan-kawan dan rakan kongsi setara kita di Sabah dan Sarawak.

Ini sebabnya kenapa Pakatan Harapan adalah induk politik sebenar untuk seluruh rakyat Malaysia yang percaya kepada kuasa kesederhanaan, ke-Malaysia-an dan jalan tengah.

Keutamaan kita ialah kesejahteraan setiap rakyat. 

Kita peduli tentang usaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik, gaji yang lebih baik dan peluang perniagaan yang lebih baik, pendidikan berkualiti yang lebih baik dan masa depan yang lebih baik untuk semua.

Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai akan menjadi suatu medan pertempuran yang sukar buat Pakatan Harapan. 

Namun pilihannya ialah antara sebuah Malaysia yang lebih baik, atau politik berasaskan kebencian. Kita semua mesti membuat keputusan yang berani, demi seluruh rakyat Malaysia.

LIEW CHIN TONG, Pengerusi DAP Johor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen