Putrajaya ambil alih 4 lebuh raya Gamuda, umum Guan Eng


Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pengambilalihan lebuh raya tidak akan melibatkan sebarang peruntukan kerajaan sebaliknya ditanggung daripada kutipan tol dan caj kesesakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Oktober, 2019.

JEMAAH Menteri meluluskan cadangan untuk mengambil alih empat lebuh raya di Lembah Klang yang dikaitkan dengan Gamuda Berhad dengan kos keseluruhan RM6.2 bilion, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Cadangan itu dikemukakan pada Jun lalu oleh Kementerian Kewangan, selepas pertama kali diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada Februari lepas.

Empat tol berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), dan Terowong SMART.

“Konsesi sedia ada tidak akan dilanjutkan dan akan tamat mengikut perjanjian konsesi sedia ada,” kata Lim, semasa membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pelaksanaan skim baru tol di empat lebuh raya itu akan menjimatkan pengguna lebuh raya sehingga RM180 juta setahun, atau RM2 bilion sehingga akhir hayat konsesi, katanya.

Menurut Lim, pengambilalihan itu juga tidak akan melibatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan sebaliknya ditanggung daripada kutipan tol dan caj kesesakan.

“Ini jauh lebih baik berbanding yang dulu. Jelas sekali, kerajaan menolak dasar kerajaan terdahulu yang menswastakan keuntungan dan merakyatkan kerugian,” katanya.

Dalam pada itu, Lim berkata Jemaah Menteri masih menimbang semua cadangan berhubung Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), termasuk cadangan Khazanah Nasional Berhad untuk mengambil alih atau melupuskan semua saham PLUS Malaysia Berhad.

“Selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan, rakyat boleh menikmati diskaun sebanyak 18% secara purata di semua lebuh raya milik PLUS,” katanya.

Diskaun itu akan memberi penjimatan sehingga RM1,130 juta kepada pengguna lebuh raya pada tahun depan, serta RM43 bilion sehingga konsesi berakhir pada 2038.

Sementara itu, Lim turut mengumumkan kadar baru tol bagi kereta persendirian di Jambatan Kedua Pulau Pinang mulai 1 Januari 2020, turun daripada RM8.50 kepada RM7, selaras dengan tol di jambatan pertama.

Dalam belanjawan yang lepas, kerajaan menghapuskan tol motosikal di dua jambatan itu. – 11 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen