Peguam Negara belum putuskan beri keterangan prosiding komital 


Peguam Negara Tommy Thomas masih belum nyatakan keputusan sama ada akan beri keterangan pada prosiding komital beraitan inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2019.

PEGUAM Negara Tommy Thomas belum menyatakan sama ada akan memberi keterangan pada prosiding permohonan komital (menghina mahkamah) berkaitan inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata  bagaimanapun peguam negara boleh membuat keputusan untuk memberi keterangan itu sebelum atau pada hari pertama prosiding komital berkenaan dimulakan.

“Setakat hari ini, peguam negara masih belum buat keputusan sama ada beliau akan menggunakan dua afidavit yang difailkan atau beliau akan beri keterangan bersumpah dalam kotak saksi atau gabungan kedua-duanya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding pengurusan kes di Mahkamah Koroner, di Shah Alam hari ini.

Mohamed Haniff Khatri berkata, afidavit jawapan terhadap permohonan Peguam Kanan Persekutuan untuk menangguhkan prosiding permohonan komital itu juga telah difailkan pagi tadi.

Terdahulu, dalam prosiding berkenaan, Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy memberitahu mahkamah bahawa setakat ini, pihaknya hanya menerima arahan untuk menggunakan dua afidavit yang difailkan Peguam Negara dan bekas pengendali inkues berhubung kematian Muhammad Adib, Hamdan Hamzah sebelum ini.

“Berhubung permohonan substantif (berkaitan komital), kami telah menghantar surat pada 30 September lepas kepada Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate untuk memaklumkan (bahawa) responden (akan) menggunakan dua afidavit sebelum ini.

“Kami memohon satu tarikh singkat untuk penggantungan prosiding (komital),” katanya.

Koroner Rofiah Mohamad kemudian menetapkan 21 Oktober ini untuk mendengar permohonan penggantungan perbicaraan komital itu.

Pada 16 Julai lepas, bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid memfailkan permohonan perintah komital terhadap Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

Permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara. – Bernama, 7 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen