Usaha perangi HIV akan gagal sekiranya pinggirkan LGBT, kata Majlis AIDS Malaysia


Majlis AIDS Malaysia meluahkan kebimbangan stigma,diskriminasi dan ancaman kepada LGBT boleh mengagalkan usaha menghapuskan AIDS dan HIV di Malaysia. – Gambar EPA, 16 Oktober, 2017.

STIGMA terhadap lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kerana wabak AIDS di Malaysia tidak memberikan kesan baik kepada usaha pihak berkuasa untuk menghentikan wabak itu, kata Majlis AIDS Malaysia (MAC).

“Kami bimbang kesan berbalik homofobia, transfobia dan ketakutan LGBT dalam proses menghapuskan AIDS menjelang 2030- matlamat akhir usaha AIDS nasional.

“Ada bukti mencukupi apabila kumpulan LGBT menjadi sasaran, didiskriminasikan dan didakwa, wabak AIDS semakin parah,” kata MAC dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis itu merujuk kepada laporan media yang menyalahkan LGBT untuk jangkitan baru HIV minggu lepas, meluahkan kebimbangan yang perkara seperti itu akan menimbulkan ketakutan dan boleh mengagalkan usaha sekarang untuk mendekati LGBT.

Lebih daripada 1,400 gay, transgender dan pekerja seks wanita mendapatkan rawatan kesihatan berkaitan HIV di lapan pusat perubatan awam di Kuala Lumpur antara Januari dan Ogos tahun ini sahaja.

“Kami amat terharu dengan perkembangan mengalakkan ini. Populasi utama yang dipinggirkan kerana ketakutan, stigma dan diskriminasi mula muncul bagi mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan HIV yang boleh menyelamatkan nyawa,” kata MAC lagi,

Situasi ini berlaku kerana wujudnya perkembangan positif dengan pengenalan usaha mesra komuniti dan pelbagai usaha lain mengurangkan stigma.

“Jika kita serius AIDS terhapus menjelang 2030 menjadi realiti, kita tidak boleh membenarkan homofobia, transfobia dan sentiment anti LGBT menyelubungi wadah HIV dan AIDS dalam masyarakat kita,” kata majlis itu.

MAC juga sudah bertemu dengan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa agama negeri bagi memastikan program HIV dan Islam mereka selaras dengan Pelan Strategik Kebangsaan bagi Menghapuskan AIDS 2016-2030.

“Mencapai sasaran penghapusan AIDS- dengan 95% mereka yang hidup dengan HIV mengetahui status HIV mereka, 95% mereka yang hidup dengan HIV menerima rawatan antiretroviral, 95% mereka yang menerima rawatan antiretroviral berjaya mengekang penularan virus itu- ialah tanggungjawab bersama.

“Ia bermula dengan merawat populasi utama yang selaras dengan maklum balas AIDS dan memastikan mereka tidak dipinggirkan,” kata majlis itu.

Tahun lepas, 84% melaporkan 3,397 jangkitan baru HIV disebabkan hubungan seks, dan daripada jumlah itu 1,533 adalah disebabkan hubungan homoseksual dan biseksual dan 1,311 lagi berpunca daripada hubungan heteroseksual.

Jangkitan seksual adalah punca utama jangkitan baru HIV pada 2010 dan melepasi  penagihan dadah dan kaedah jangkitan lain.

MAC berkata Malaysia berjaya mengurangkan jangkitan HIV baru dalam kalangan penagih dadah sejak dekad lepas menerusi strategi pengurangan jangkitan.

“Kejayaan kisah pengurangan jangkitan memberikan bukti yang apabila halangan berstruktur untuk menerima rawatan HIV dihapuskan, dan kepercayaan stigma, perangai dan amalan dicabar, kejayaan akan muncul.

“Pendekatan yang sama perlu dilaksanakan dalam strategi menangani krisis kesihatan HIV semasa,” kata majlis itu. – 16 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen