Muslihat bekas pengarah Kastam terbongkar


Kalidevi Mogan Kumarappa

SELAMA setahun seorang bekas pengarah kastam mengerahkan pasukan penguatkuasaannya memburu sindiket penyeludupan, namun beliau memastikan mereka tidak menghidu sindiketnya sendiri.

Muslihat pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia itu, yang dipercayai sudah mengaut jutaan ringgit daripada kegiatan seludup arak rokok, terbongkar sehingga membawa kepada penangkapannya hujung minggu lalu.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa sejak setahun lalu bekas pengarah kastam negeri itu menyalurkan maklumat mengenai kegiatan penyeludupan sindiket lain sebagai helah menutup belangnya sendiri.

Bekas pengarah itu menubuhkan sebuah badan masyarakat selepas beliau bersara pada November tahun lalu dengan matlamat membantu pihak berkuasa menangani aktiviti penyeludupan rentas sempatan.

“Bagaimanapun, ia serampang dua mata apabila maklumat mengenai sindiket lain disalurkan kepada pihak berkuasa sementara sindiket yang didalanginya bebas beraksi kerana mampu membaca gerak geri penguatkuasa di sempadan.

“Kedudukannya sebagai bekas pengarah negeri membuatkan orang ramai yakin dan percaya untuk salurkan maklumat mengenai aktiviti penyeludupan di sempadan.

“Apa yang dia tidak tahu, sindiketnya juga diperhatikan oleh pihak berkuasa,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

The Malaysian Insight difahamkan sindiket bekas pengarah kastam ini beroperasi dengan lancar menyeludup arak dan rokok kerana mempunyai maklumat dalaman.

“Pengalamannya bekerja di negeri juga membantu sindiket yang didalanginya senang keluar masuk menyeludup barangan terlarang dari negara jiran,” tambah sumber.

Bekas pengarah kastam itu ditahan bersama dua lagi suspek iaitu pengarah syarikat swasta yang sudah lama dikehendaki pihak berkuasa kerana mendalangi banyak aktiviti penyeludupan.

“Mereka kebal selama ini kerana mempunyai pengaruh malah terkenal sebagai raja penyeludup rokok dan arak tiruan.

“Mereka turut mendalangi sewa lesen import secara haram kepada sindiket menyeludup arak dan rokok tiruan.

“Mereka mengeluarkan setem kastam tiruan dan menyalahgunakan lesen import yang dikeluarkan agensi cukai itu untuk aktiviti haram,” katanya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Ahad mengumumkan ketiga-tiga mereka ditahan pada Sabtu dan dibenarkan untuk ditahan reman selama lima hari bermula Ahad oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu.

Bekas Pengarah Kastam itu ditahan ketika memberikan keterangan di pejabat SPRM di Kelantan sementara dua pengarah itu ditahan di sebuah hotel di Genting Highlands.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga mendapat perintah untuk membekukan akaun suspek serta beberapa individu lain yang disyaki terlibat.

“Keseluruhannya, akaun 20 individu dan empat entiti dibekukan,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, The Malaysian Insight melaporkan satu sindiket tempatan dikesan mendalangi pengeluaran lesen haram kepada pengimport arak dan rokok untuk membawa masuk bahan kawalan itu.

Sindiket yang aktif di Kuala Lumpur dan Selangor itu mengeluarkan lebih 10 lesen sejak awal tahun ini dengan mengaut antara RM100,000 hingga RM200,000 untuk setiap lesen.

The Malaysian Insight sebelum ini juga melaporkan agensi anti rasuah mula menyiasat beberapa pegawai tinggi kastam yang dipercayai terlibat dalam kes penyeludupan rokok dan minuman keras.

Siasatan itu turut melibatkan kegiatan enam buah syarikat yang didakwa menyalah guna lesen import yang dikeluarkan oleh kastam, yang membolehkan mereka membawa masuk rokok dan arak tanpa membayar cukai. Enam syarikat itu dalam pemantauan SPRM. – 2 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen