Mufti Perlis gesa Tommy Thomas berundur selepas keputusan inkues Adib


Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Peguam Neara Tommy Thomas perlu meletakkan jawatan demi menjaga maruah negara dan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2019.

PEGUAM Negara Tommy Thomas perlu meletakkan jawatan dengan keputusan Mahkamah Koroner yang kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim bukan disebabkan oleh kemalangan, kata Mohd Asri Zainul Abidin.

“Demi menjaga maruah Malaysia dan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara ini, mengelakkan ketegangan antara kaum, menghindari salahguna kedudukan dan kuasa maka TS Tommy Thomas wajib berundur dari jawatan beliau sebagai peguam negara,” kata mufti Perlis dalam satu catatan di Facebook hari ini.

Beliau adalah pihak terbaru untuk menyertai gesaan agar Thomas melepaskan jawatannya selepas keputusan itu.

Awal hari ini, Timbalan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shari dan Ahli Exco Pemuda Umno, Muhammad Faiz Hashim meminta peguam negara meletak jawatan atau bercuti.

Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematian Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah.

Koroner Rofiah Mohamad berkata trauma tumpul pada dadanya bukan disebabkan oleh kemalangan tetapi oleh dua atau tiga orang yang menyeretnya keluar dari van EMRS.

“Saya juga berpendapat polis gagal mengawal rusuhan dan menyumbang kepada kematian Adib,” katanya di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Beliau berkata berdasarkan penemuan mahkamah, beliau memerintahkan ketua polis negara dan peguam negara menjalankan siasatan lanjut terhadap kes itu.

“Mereka boleh meneruskan pendakwaan jika perlu,” katanya. – 27 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen