Najib desak pinjaman RM3 bilion dari Perkeso untuk bayar PetroSaudi


Bede Hong Timothy Achariam

Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi menghadiri perbicaraan kes 1MDB. Saksi berkata Najib desak 1MDB dapatkan pinjaman RM3 bilion daripada Perkeso untuk membayar PSI pada 2011. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 September, 2019.

BEKAS perdana menteri Najib Razak mendesak 1MDB untuk mendapatkan pinjaman RM3 bilion daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk membayar bayaran pinjaman tambahan kepada PetroSaudi International (PSI) Ltd pada awal 2011, kata saksi dalam perbicaraan kes 1MDB hari ini.

Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Najib membenarkan 1MDB membuat tambahan pinjaman AS$750 juta kepada PSI untuk membiayai projek berkaitan Maybourne Hotel Group di London.

Bayaran itu tertakluk kepada 1MDB untuk menerima pinjaman RM3 bilion daripada Perkeso, kata saksi.

Merujuk kepada minit mesyuarat dengan pengerusi lembaga penasihat 1MDB itu, bertarikh 30 Mac, 2011, Najib bersetuju wang itu digunakan untuk projek pengambilalihan hotel London, serta untuk SRC International Bhd dan Kuala Lumpur International Financial District (KLIFD), yang kemudian ditukar nama kepada TRX.

Naib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 prtuduhan pengubahan wang dalam jumlah yang sama. Beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun sekiranya sabit kesalahan.

Ketika memberi keterangan pagi tadi, Shahrol berkata beliau tidak pernah membincangkan hal pinjaman AS$750 juta itu dengan Najib.

Katanya, minit itu diserahkan kepadanya oleh perantara 1MDB Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Saksi berusia 49 tahun itu berkata beliau memaklumkan kepada lembaga pengarah 1MDB pada satu mesyuarat 4 April, 2011 bahawa Najib bersetuju untuk 1MDB menambah komitmennya dengan PSI.

Lembaga pengarah terkejut dengan permintaan tambahan pinjaman, kata Shahrol. Pengerusi lembaga pengarah pada masa itu Che Lodin Wok Kamaruddin merujuk kepada surat bertarikh 18 Februari, 2011 daripada putera Arab Saudi Turki Abdullah dan CEO PSI Tarek Obaid. – 26 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen