34 kawasan catat bacaan IPU tidak sihat 


Sebanyak 34 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat jam 10 pagi tadi, berbanding 25 kawasan semalam, menurut Jabatan Alam Sekitar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 September, 2019.

SEBANYAK 34 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat jam 10 pagi tadi, berbanding 25 kawasan semalam, menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Kualiti udara di Tangkak, Johor berada dalam kategori “sangat tidak sihat” dengan bacaan IPU 206.

Johan Setia di Klang yang mencatat bacaan tertinggi sejak beberapa hari lalu menurun kepada 196 hari ini tetapi masih dalam kategori “tidak sihat”.

Kawasan lain yang mencatat bacaan IPU tidak sihat ialah Tasek Ipoh (133), Tasek Pegoh (117), Batu Muda (171) Cheras (162), Putrajaya (163), Kuala Selangor (132), Petaling Jaya (163), Shah Alam (158), Klang (152), Banting (170), Nilai (176), Seremban (151), Port Dickson (179), Alor Gajah (165), Bandaraya Melaka (156), Bukit Rambai (159), Segamat (146), Batu Pahat (120), Kluang (134), Rompin (116), Temerloh (153), Jerantut (139), Indera Mahkota (119) dan Balok Baru (115).

Di Sarawak pula, hanya Kuching berada dalam kategori “sangat tidak sihat” iaitu bacaan IPU 213.

Sri Aman, Samarahan, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu mencatat bacaan IPU antara 103 dan 184.

Sementara itu, kualiti udara di Tawau, Sabah berada dalam kategori “tidak sihat” dengan bacaan IPU 122.

Bacaan IPU 0-50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat), dan 300 dan ke atas (berbahaya). 

Semalam, 19 buah sekolah di Selangor dan 26 buah sekolah di Pahang ditutup akibat jerebu yang teruk.

Kementerian Pendidikan berkata sekolah yang berada di kawasan mencatat bacaan IPU melebihi 200 akan ditutup.

Menurut Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC), cuaca kering dijangka berterusan di rantau Asean selatan dan angin dijangka bertiup dari tenggara atau barat daya. – 14 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen