Pengikut Syiah dakwa polis bertindak kasar dalam serbuan jabatan agama


Sejak Jumaat lalu, sekurang-kurangnya tiga serbuan dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor termasuk ke atas majlis sambutan Hari Asyura. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2019.

TIGA lelaki mendakwa polis bertindak kasar dan melampaui undang-undang semasa membantu pihak berkuasa agama Johor menyerbu sebuah majlis agama, yang dipercayai dianjurkan dan disertai pengikut ajaran Syiah.

Kejadian berlaku di sebuah premis di Taman Bukit Kempas, Johor Bahru, lebih kurang 11 malam pada Isnin lalu.

Dalam tiga salinan laporan polis yang dilihat The Malaysian Insight, ketiga-tiga lelaki itu mendakwa pihak polis yang berpakaian preman dan tidak mempunyai waran bertindak kasar ke atas mereka, termasuk mengacukan pistol kepada hadirin.

Seorang pengadu Md Faizal Yahya, 40, mendakwa beliau ditendang dan diugut oleh pihak polis walaupun pada sepanjang masa sudah memberikan kerjasama selepas ditahan.

“Saya telah ditangkap di luar premis dan memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

“Tiba-tiba salah seorang pihak polis menendang saya dari belakang kerana mengesyaki saya tidak memberi maklumat kepada pihak polis. Saya diugut untuk dibelasah dan menggari saya,” katanya dalam laporan itu, yang dilihat The Malaysian Insight.

Serbuan pihak berkuasa agama Johor ini dibuat ketika pihak berkuasa agama di Selangor juga bertindak ke atas pengikut Syiah di negeri itu.

Seorang lagi individu, Shamsuri Johari, 44, berkata, terdapat anggota polis yang mengacu pistol kepada rakan-rakannya dalam serbuan itu.

“Mereka (pihak polis) melakukan keganasan seperti memukul, menggari tangan belakang, mengacukan pistol di kepala, mengancam mahu memukul seseorang, dan menunjukkan pistol di pinggang sebagai tanda ancaman kepada jemaah dan saya,” katanya, dalam laporan polis berasingan.

Dalam satu laporan polis lain, seorang lagi pengadu Syed Mohd Fadlie Syed Ali mendakwa beliau diugut pukul jika tidak membuka pintu yang terkunci.

Ketiga-tiga mereka mempersoalkan tindakan polis yang sepatutnya hanya membantu menjaga keamanan dan bukannya mencampuri urusan pihak berkuasa agama negeri.

Sejak Jumaat lalu, sekurang-kurangnya tiga serbuan dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), termasuk ke atas majlis sambutan Hari Asyura, hari kebesaran dalam kalangan pengikut Syiah, yang dibuat oleh warga asing dan secara tertutup.

Portal berita Free Malaysia Today beberapa hari lalu melaporkan pihak Kedutaan Iran di Kuala Lumpur terpaksa campur tangan selepas seorang wanita rakyatnya ditahan dalam serbuan JAIS ke atas sebuah premis di Ampang.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam satu kenyataan semalam menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan pihak berkuasa agama menyerbu pengikut Syiah.

Badan itu membangkitkan soal jaminan hak yang diberikan mengikut Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

“Kita tak boleh mengakui sebagai negara yang mempunyai pelbagai kebudayaan melainkan pihak berkuasa, badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil menghormati dan bertolak ansur terhadap amalan agama setiap individu,” kata Suhakam. – 11 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen