Putrajaya batal kontrak 33 syarikat perabot Bumiputera, kata MTEM


Putrajaya menerusi Kementerian Kewangan didakwa membatalkan kontrak pembekalan perabot 33 syarikat Bumiputera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2019.

KEMENTERIAN Kewangan membatalkan kontrak 33 syarikat Bumiputera yang membekalkan perabot kepada semua agensi kerajaan di seluruh negara, kata Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera (MTEM) hari ini.

Majlis itu dalam satu kenyataan menuduh kementerian bertindak tidak adil dan terburu-buru kepada Persatuan Industri Penguasaha Perabot Bumiputera (Petra) apabila membatalkan kontrak tersebut.

“Kami menerima aduan daripada Petra tentang tindakan diambil Kementerian Kewangan. Kementerian memutuskan untuk membatalkan kontrak 33 daripada 83 syarikat dibawah senarai Kontrak Panel Berpusat (KPB) melalui senarai terkini syarikat di bawah KPB.

“Ini tidak berperikemanusiaan kerana sebab untuk pembatalan itu adalah kerana kegagalan mendapatkan Perkhidmatan Pensijilan Produk (PCS) daripada Institut Kajian Hutan Malaysia (Frim).

“Kementerian enggan mempertimbangkan alasan diberikan syarikat seperti (kelewatan) hasil ujian daripada Frim tetapi mengambil jalan mudah dengan terus membatalkan kontrak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MTEM Ahmad Yaziq Othman.

Yazid menjelaskan, Frim sepatutnya dipersalahkan kerana gagal menyediakan hasil ujian dalam tempoh ditetapkan, menambah yang 33 syarikat berkaitan sudah menghantar dan memenuhi semua syarat ujian.

“Bagi mendapatkan pensijilan PCS, semua 33 syarikat itu perlu menunggu keputusan Frim. Syarikat terlibat sudah memenuhi semua syarat tetapi mengapa syarikat itu yang dihukum sedangka Frim yang gagal menyediakan keputusan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Yazid turut mengecam kementerian kerana cara penghantaran notis pembatalan kepada 33 syarikat terlibat.

“Malah yang lebih tidak hormat, notis itu dihantar melalui pos biasa. Tiada panggilan telefon, tiada email dan kebanyakan syarikat tersenarai hanya menerima surat beberapa minggu selepas tarikh pembatalan. Adakah ini perangai kerajaan baharu?” soal Yazid lagi.

Menurutnya, semua 33 syarikat itu sudah beroperasi lebih 20 tahun.

“Mereka hilang punca utama pendapatan sekelip mata. Dasar KPB adalah untuk mengutamakan perusahaan kecil dan sederhana Bumiputera. Adakah pensijilan PSC kini adalah kayu ukur kualiti?” tanyanya.

Yazid menambah yang Petra sudah bertemu timbalan menteri kewangan untuk membincangkan perkara itu. Bagaimana, setakat ini tiada tindakan diambil.

“Arahan dikeluarkan oleh timbalan menteri tetapi jawapan masih sama (kontrak dibatalkan) sehingga sekarang. Adakah kerajaan mahu membantu sektor penguasaha perabot Bumiputera atau mereka mahu lihat Bumiputera ketinggalan dalam industri ini?

“Kami harap jawapan akan diberikan secepat mungkin kerana tender kontrak akan dikeluarkan minggu depan. Kami mahu percaya yang kerajaan tidak mahu melihat Bumiputera diabaikan,” tambahnya. – 11 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen