Hanya Tuhan berhak hakimi Kassim Ahmad, kata Mufti Perak


Cendekiawan ulung Islam negara, Kassim Ahmad meninggal dunia semalam dan disifatkan banyak pihak sebagai kehilangan besar kepada negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2017.

ORANG yang sudah meninggal dunia perlu dihormati dan apa yang dilakukannya ketika hidup hanya berhak dihakimi Tuhan, kata Mufti Perak Harussani Zakaria hari ini seperti dilaporkan portal beritadaily.com.

Kenyataan itu dikeluarkan apabila diminta mengulas catatan Facebook Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin semalam yang dilihat banyak pihak seperti menyindir cendekiawan Islam Kassim Ahmad yang baru sahaja meninggal dunia.

“Kita perlu hormati mereka yang sudah meninggal. Apa yang dilakukannya hanya Tuhan boleh menghakiminya.

“Kita tidak tahu bagaimana pengakhirannya, kerana itu kita perlu berfikir yang baik-baik tentangnya. Siapa tahu jika dia sudah bertaubat dan siapa tahu jika dia berjaya ucapkan syahadah sebelum meninggal.

“Selaku orang Islam kepada orang Islam yang lain, kita perlu fikirkan yang baik-baik tentang Allahyarham Kassim Ahmad,” kata Harussani ketika dihubungi.

Semalam, menerusi catatan Facebooknya, Asri menulis:

“Cara pengurusan jenazah secara terperinci disebutkan dalam hadis-hadis Nabi s.a.w.

“Maka, untuk menguruskan jenazah memerlukan hadis-hadis yang thabit dari Nabi s.a.w. Ertinya, Muslim sebenarnya memerlukan hadis-hadis Nabi s.a.w. dalam banyak perincian amalan hidupnya,” tulisnya.

Kenyataan itu dilihat banyak pihak sebagai sindiran kepada Kassim yang meninggal dunia pada jam 10 pagi semalam, walaupun Asri tidak pernah menamakan Kassim dalam catatan itu.

Sementara itu Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Hussein pula berkata walaupun pandangan Kassim mengenai Islam bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini, tiada sesiapapun wajar mengecam Kassim yang sudah meninggal dunia.

“Selaku Ahli Sunnah Wal Jamaah, saya setuju dengan Harussani yang kita perlu hormatinya selaku orang Islam dan perlu memikirkan yang baik-baik tentangnya. Kita tidak tahu pengakhirannya bagaimana,” kata Wan Ji seperti dipetik beritadaily.com.

Kassim Ahmad, sosok intelektual Melayu Islam terkenal dan dihormati ramai pernah mencetuskan kontroversi kerana pandangannya yang dikatakan anti-Hadis, beliau juga pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana penglibatan politiknya.

Beliau meninggal dunia semalam pada jam 10 pagi selepas dimasukkan ke hospital pada Isnin lalu. Jenazahnya dikebumikan di Perkuburan Kilang Lama, Kulim, Kedah selepas solat Maghrib semalam. – 11 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen