Anak AR Badul maut tertembak semasa demonstrasi di kem


Mejar Mohd Zahir Armaya dipercayai tertembak ketika membuat aksi gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah, hari ini. – Gambar Facebook, 4 September, 2019.

SEORANG pegawai komando dari 11 Rejimen Gerak Khas meninggal dunia pagi tadi selepas dikatakan terkena tembakan semasa demonstrasi tentera di sebuah kem.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata Mejar Mohd Zahir Armaya yang merupakan anak pelakon komedi terkenal AR Badul meninggal dunia jam 9.20 pagi ini susulan kejadian itu.

“(Mohd Zahir) maut semasa melakukan demonstrasi keupayaan sempena gimik penubuhan Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div), pagi tadi,” katanya.

Mohd Zahir meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, katanya yang turut mengucapkan takziah pada pihak keluarga dan minta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi.

“Saya berharap keluarga kepada Allaharyam tabah menghadapi suasana pilu ini dan kami di Kementerian Pertahanan amat bersimpati atas kesedihan ini.

“Saya juga mengharapkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga laporan bedah siasat selesai bagi menghormati keluarga allahyarham,” kata Mat Sabu dalam satu kenyataan. – 4 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen