MTUC tuntut COLA RM500, umur bersara 65 tahun


SM Amin

KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menuntut kerajaan mewajibkan majikan memberi elaun kos sara hidup (COLA) sekurang-kurangnya RM500 kepada pekerja sektor swasta.

Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata, pelaksanaan COLA itu perlu dimasukkan dalam Bajet 2020 untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat terutamanya di kawasan bandar.

“Kerajaan harus menerima hakikat bahawa rakyat Malaysia kelas pertengahan dan berpendapatan rendah tidak lagi berupaya menyara diri dan hidup dalam serba kekurangan

“MTUC bukan mendesak kenaikan gaji bersih tetapi mahukan pendapatan yang dapat menampung kos sara hidup pekerja,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menunjukkan Garis Pendapatan Kemiskinan (PLI) negara sekitar 15 hingga 20%.

Ia jauh lebih tinggi daripada angka rasmi miskin tegar yang dikeluarkan oleh kerajaan iaitu pada  0.4% bagi 2016.

PBB turut menegur Malaysia merana menggunakan kaedah lapuk untuk menyukat kemiskiran rakyat, yang lebih sesuai diguna dalam era 1970-an dan tidak mencerminkan keadaan sebenar.

Dakwaan tersebut disangkal oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali yang berkata data tersebut menggunakan piawaian yang diterima pakai di peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut perkara itu, Solomon menegaskan kerajaan tidak harus menafikan perkara itu kerana PLI merupakan elemen utama yang digunakan oleh kerajaan untuk menetapkan kadar gaji minimum pekerja di Malaysia. 

Solomon turut merujuk laporan Bank Negara yang menyebut pekerja di Kuala Lumpur memerlukan pendapatan minimum RM2,700 dan RM6,500 bagi pasangan dengan dua orang anak.

Selain daripada memperkenalkan pemberian COLA, MTUC juga turut menggesa kerajaan meningkatkan had umur persaraan mandatori kepada 65 tahun. 

“Had umur persaraan juga harus dinaikkan kerana gaji rendah menyebabkan pekerja tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung tempoh persaraan panjang, dengan mengambil kira purata jangka hayat rakyat Malaysia pada masa hadapan di jangka menokok kepada 80 tahun.

“Ia akan menambah simpanan KWSP pekerja berpendapatan rendah dan sekali gus memastikan warga emas tidak terlalu bergantung kepada ahli keluarga, masyarakat mahupun kerajaan untuk menyara diri,” katanya. 

Cadangan COLA bersama lima saranan lain dikemukakan oleh MTUC kepada kerajaan pada 26 Ogos lalu untuk dipertimbangkan dalam menggubal Bajet 2020. 

Turut dimuatkan dalam cadangan itu adalah pengenalan hak asasi manusia dan hak pekerja dalam sukatan pelajaran sekolah menengah dan pendidikan tinggi.

MTUC juga mahu kerajaan menambah akses kepada program TVET, memastikan pekerja dibela dalam menghadapi cabaran revolusi perindustrian 4.0 dan menambah kemudahan pekerja dan peluang pekerjaan. – 1 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen