Johor benteng terakhir BN?


Awang Azman Awang Pawi

PADA pilihan raya umum (PRU) lepas, Barisan Nasional (BN) Johor menguasai 21 daripada 26 kerusi Parlimen. DAP memperoleh empat kerusi Parlimen daripada enam kawasan bertanding manakala PKR memperoleh satu kawasan Parlimen daripada 12 kawasan bertanding.

Ketika itu gagasan Pakatan Rakyat meliputi PAS bersama-sama menentang BN. Namun PAS tewas di semua kerusi yang ditandingi di Johor.

Keputusan PRU 2013 memperlihatkan ada lapan kerusi yang dianggap sebagai kawasan merah yang sangat berbahaya kepada BN Johor. Lapan kerusi Parlimen tersebut mendapat kurang daripada 3,500 undi ke bawah.

Undi tipis membimbangkan

Antaranya ialah perolehan undi di kerusi Parlimen Labis merupakan paling rendah apabila calon BN, Chua Tee Yong dari MCA hanya mendapat kemenangan tipis sebanyak 353 undi. Undi rosak lebih tinggi jumlahnya, iaitu sebanyak 689 undi. Sudah tentu ini laluan sukar untuk MCA berhadapan dengan gelombang DAP pada PRU akan datang. 

Di kerusi Parlimen Pasir Gudang pula, BN hanya memperoleh majoriti 935 undi apabila bertembung dengan lawannya dari PKR.  Segamat pula BN hanya memperoleh majoriti 1,217 undi manakala Muar memperoleh majoriti mudah 1,646 undi.

Tebrau memperoleh majoriti nipis 1,767 undi manakala Ledang 1,967 undi majoriti mudah. Kawasan Parlimen Sekijang turut juga tidak selamat bagi BN apabila hanya memperoleh 3,007 undi majoriti manakala Pulai pula memperoleh 3,226 undi.

Sekiranya perubahan undi kurang beberapa peratus saja, ia berupaya memberikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU akan datang.

Walaupun tahap sokongan undi peneroka Felda mencapai hampir 90% mengundi BN di Johor namun di beberapa kawasan Parlimen, BN sukar juga mengekang sepenuhnya kemaraan pembangkang. Misalnya, di Sekijang, Labis dan Tebrau, BN menang namun kemenangan ini disokong oleh undi peneroka Felda.

Namun berdasarkan sejarah PRU di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia didapati pembangkang tetap menang di beberapa kerusi Parlimen meskipun mempunyai kelebihan undi Felda. Di Johor, contoh yang jelas ialah di Kulai, DAP tetap dapat menang meskipun wujud undi Felda. Adakah situasi ini akan menular dan mewabak pada PRU akan datang?

Kawasan merah

Berdasarkan analisis keputusan PRU lepas, ternyata terdapat lapan kawasan Parlimen yang merah di Johor. Kawasan merah tersebut ialah Labis, Pasir Gudang, Segamat, Muar, Tebrau, Ledang, Sekijang dan Pulai. Tentulah ini mencemaskan bagi BN kerana cuma menang dengan hanya majoriti tipis atau undi yang dimenangi semakin berkurangan.

Gerak kerja yang berganda perlu untuk membaiki pulih sokongan dan keyakinan rakyat agar hayunan undi beralih kepada BN.

Kerusi bonus PH

PH menguasai lima kerusi di Johor iaitu Kulai, Gelang Patah, Kluang, Batu Pahat dan Bakri. Ada yang melihat kerusi di kawasan hitam ini sukar dirampas balik oleh BN. Kerusi Parlimen Gelang Patah misalnya sudah menjadi kubu kuat DAP. 

Manakala Parlimen Pagoh kini bertukar milik daripada Umno kepada Bersatu apabila Muhyiddin Yassin tersingkir daripada Umno. Jadi kesemuanya ada enam kerusi PH.

Sekiranya lapan kerusi majoriti nipis berjaya diambil alih oleh PH, maka sudah ada 14 kerusi bakal diperoleh PH.

Kerusi bandaran terjejas

Terdapat juga kerusi lain seperti Parlimen Johor Bahru yang dilihat berpotensi dirampas pembangkang.  Barangkali Johor Bahru ialah satu-satunya kerusi Parlimen milik BN selepas kebanyakan ibu kota besar dikuasai oleh pembangkang di serata negeri di Malaysia.

Bagi mempertahankan Parlimen ini daripada dirampas pembangkang, sudah pasti calon penyandang Shahrir Abdul Samad perlu untuk menyelamatkan situasi buruk politik di Johor yang semakin parah. 

Pertimbangan kalah-menang pasti akan jadi pertimbangan utama berbanding meletakkan calon yang belum teruji dan belum setanding dengan Shahrir.

Langkah taktikal

Pada satu pihak yang lain, dijangka Muhyiddin melakukan langkah taktikal pada PRU akan datang. Beliau dijangka akan bertanding di Muar untuk merampas kerusi Umno di Muar yang kini berada di bawah zon kerusi kawasan merah.

Kerusi Parlimen Pagoh pula dijangka akan diisikan oleh Dr Shahruddin Md Salleh, iaitu Setiausaha Agung Bersatu. Beliau ialah bekas setiausaha politik Muhidyin dan orang kepercayaan sepanjang berkecimpung dalam dunia politik.

Dengan melakukan langkah taktikal ini, maka dijangka Bersatu akan memperoleh sekurang-kurang dua kerusi mudah dalam PRU akan datang.

Peluang PH

Usaha PH untuk menembusi banyak lagi kubu kuat BN Johor boleh terlaksana dengan licin hanya terhasil sekiranya tidak ada berlakunya perebutan pengagihan kerusi pada PRU akan datang jika ada berlakunya perebutan kerusi, maka peluang PH akan pudar kerana pasti akan berlaku sabotaj di antara satu sama lain.

Cabaran PH termasuklah untuk melunakkan sokongan terhadap PAS pada PRU lepas agar beralih kepada Amanah. Kebanyakan undi luar bandar di Johor turut dibantu oleh undi PAS misalnya di kawasan pengundi Felda meskipun PAS tewas pada semua kerusi ditandingi.

Menurut beberapa maklum balas di kawasan berkenaan PRU yang dijangka diadakan pada tahun depan berbeza dengan situasi PRU 2013. Ini kerana pada PRU 2013, Dr Mahathir Mohamad masih lagi bersama BN dan turun berkempen untuk BN. Namun pada kali ini, Dr Mahathir kini di pentas pembangkang.

Begitu juga kehadiran Muhyiddin yang berpengalaman sebagai pengarah pilihan raya sebanyak 18 kali ketika dalam BN. Dengan pengalaman sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dan timbalan presiden Umno sudah tentu beliau tahu menangani kelicikan Umno yang sebahagian daripada darah dagingnya. Kini beliau dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa pilihan raya PH.

Faktor Amanah yang dipimpin oleh Salahuddin Ayub akan turut berada di barisan hadapan bersama PKR, Bersatu dan DAP dijangka membantu mengukuhkan benteng PH. Namun setakat ini, Amanah belum lagi teruji daripada aspek sokongan rakyat di Johor.

Hidup mati kepembangkangan

Menurut beberapa akar umbi ditemui, PRU akan datang merupakan antara hidup mati kerana pembangkang di Malaysia. Pembangkang terlepas peluang pada PRU13 dan jika terlepas lagi, maka peluang untuk terus relevan dijangka akan pudar. 

Ini kerana faktor usia pemimpin utama mereka seperti Dr Mahathir, Lim Kit Siang,  Muhiyiddin, Anwar Ibrahim dan beberapa tokoh yang lain.

Inilah waktu puncak kepembangkangan mereka yang perlu kemenangan untuk terus relevan dan memanfaatkan situasi politik yang ada.

Selain faktor 1MDB, kenaikan kos sara hidup dan harga barang termasuk kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST), pemotongan subsidi dan bajet, isu pelaburan China, peluang pekerjaan, kenaikan harga minyak, gaji tidak setimpal dengan kenaikan harga barang, lambakan pekerja asing menjejaskan peluang persaingan antara isu yang dijangka dijadikan bahan kempen utama pembangkang.

Kelebihan BN

Apa pun momokan terhadap BN, persaingan sengit pasti berlangsung antara PH dengan BN. Dijangka BN tetap mempunyai kelebihan dari segi penguasaan agensi strategik, kelebihan dana dan penguasaan media arus perdana.

Jentera kempen BN lebih ampuh khususnya Umno kerana mempunyai jentera kempen yang kompetitif berbanding Bersatu, Amanah dan PKR. Hal ini kerana penguasaan pusat operasi dan Pusat Daerah Mengundi serta banyak cawangan di peringkat bawah.

Kebarangkalian terdapat percaturan dalam kalangan pengundi Johor untuk memilih pembangkang di peringkat Parlimen tinggi manakala memilih BN di peringkat Dewan Undangan Negeri sesuai dengan politik semasa dan konsep Bangsa Johor.

Kebarangkalian ini tidak mustahil memandangkan kepimpinan Khaled Nordin sebagai Menteri Besar dianggap masih relevan untuk Johor.

Namun benteng terakhir BN bukanlah terletak di Johor, tetapi sebenarnya terletak pada kubu kuat BN di Sabah dan Sarawak. Selagi BN di Sarawak dan Sabah masih setia dengan perjuangan BN selagi itulah peluang pembangkang menawan Putrajaya masih tipis. – 8 Oktober, 2017.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen