Tiada aktiviti perlombongan bauksit mega di Kota Tinggi, kata exco


KERAJAAN Johor mengesahkan tiada sebarang aktiviti perlombongan bauksit yang beroperasi secara mega di Kota Tinggi seperti yang dilaporkan akhbar, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata berdasarkan semakan yang dirujuk kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS), kerajaan negeri juga mengesahkan tiada sebarang kelulusan diberikan kepada firma swasta untuk menjalankan kegiatan tersebut.

“Malah, hasil semakan tersebut juga tidak menemukan sebarang maklumat mahupun sebarang laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sebagaimana yang didakwa diperoleh oleh firma tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tan berkata Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) turut mengesahkan tiada permohonan dikemukakan oleh sebarang firma swasta bagi menjalankan aktiviti perlombongan bauksit di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.

Beliau berkata Johor memandang serius laporan akhbar berkenaan terutamanya apabila melibatkan faktor alam sekitar secara menyeluruh dan berjangka masa panjang.

Katanya, sehubungan itu, Johor akan mengikuti rapat perkembangan dan pemantauan berkaitan laporan berkenaan menerusi jabatan dan agensi yang berkaitan.

Tan mengeluarkan kenyataan itu sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse, semalam, yang menyebut kerajaan Johor tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana syarikat berhubung pelaburan projek mega perlombongan bauksit di negeri itu.

Terdahulu, sebuah portal baru-baru ini melaporkan The One Minerals Mining Sdn Bhd (TOMM) dan firma pelaburan Hong Kong, Via East West Capital (VEWC) melabur AS$350 juta (RM1.47 bilion) untuk melombong 2,833 hektar bauksit di Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah Urusan TOMM, Looi Kam Yong, dilaporkan berkata perlombongan mineral di atas tanah milik Felda di Kota Tinggi yang dijangka bermula dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang itu akan dibahagikan kepada lima bahagian, yang mana bahagian pertama merangkumi pelaburan bernilai AS$50 juta (RM210 juta) membabitkan kawasan keluasan 404.7 hektar.

Katanya, projek yang mendapat kelulusan EIA oleh JAS itu bakal mewujudkan 100 hingga 150 pekerjaan baharu bagi setiap 404.7 hektar kepada penduduk setempat. – Bernama, 16 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen