Umno di kandang tertuduh


TIADA ketaatan yang harus diberikan kepada sesiapa yang mungkar dan ingkar kepada Tuhan. Ketaatan terhad hanya kepada perkara yang terpuji dan terbaik sahaja. 

Politik Melayu-Islam kini sedang dilanda krisis kepimpinan. Tiada pemimpin Melayu setakat ini, daripada Umno terutamanya yang mampu memberikan jalan keluar kepada orang Melayu.

Jalan keluar daripada paradigma yang lama – acuan pemikiran Melayu yang semakin hari semakin memakan diri. 

Natijahnya, orang Melayu dilihat tidak kompeten, terkebelakang, tidak berintegriti, culas dan kolot.

Dr Vaseehar Hassan Abdul Razack, dalam kajian beliau “The Malay Leadership Mystique” berpendapat majoriti orang Melayu masih menyokong Najib Razak sebagai satu ikon politik disebabkan faktor budaya dan psikologi. 

Syed Hussein Alatas pula menerangkan bagaimana psychological feudalism telah lama membarah dalam kalangan orang Melayu dan rakyat Malaysia umumnya.

Meskipun struktur institusi feudal ini sudah tidak ada, ia masih meninggalkan kesan dalam psikologi rakyat kebanyakan. 

Amat menarik sekali, Syed Hussein Alatas memberikan hujah bahawa: “The clearest instance, is perhaps the perennially prevalent corruption in Asian countries. Though the system of values in these countries prohibited corruption, it became accepted by many people as an unavoidable practice, too deep-rooted to combat” 

Ia bukan satu kenyataan yang sedap didengar, Tetapi, ia juga bukan satu dakwaan yang salah sepenuhnya.

Orang Melayu sedar korupsi adalah kemungkaran yang tidak mudah dibendung, meskipun pada masa yang sama, orang Melayu tahu bahawa penyelewengan sedemikian sangat salah dan berdosa.

Lebih-lebih lagi apabila dilakukan oleh pemimpin politik yang berduit, berjawatan dan berpengaruh. 

Keadaan seperti ini wujud dan menular atas beberapa sebab. 

Pertama, orang Melayu dihalang daripada melihat dan memisahkan perkara yang digunakan bagi tujuan peribadi dan umum.

Hal-hal yang sepatutnya digunakan untuk urusan rasmi telah dicampur-adukkan dengan urusan peribadi. 

Syed Hussein Alatas mengambil contoh ketirisan yang berlaku di beberapa negeri lewat tahun 1960-an seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Ini memperlihatkan bagaimana budaya integriti kian terhakis meskipun nilai Melayu sendiri sangat menekankan aspek ketelusan dan kejujuran. 

Kedua, hubungan eksklusif dan rapat pemimpin politik dan pengikutnya. Kesetiaan tanpa berbelah bahagi yang wujud di antara kedua-duanya telah mengetepikan prinsip moral dan norma etika masyarakat. Terutama sekali di dalam struktur parti politik Melayu yang banyak berpaksikan naungan. 

Para pengikut kepada seorang tokoh politik sanggup membelakangkan kebobrokan nilai dan integriti tokoh politik tersebut, atas dasar mengelakkan persengketaan dan demi menagih perlindungan politik serta material.

Kesetiaan seperti ini telah memberi laluan kepada kuasa wang, status, personaliti, keturunan dan senioriti seseorang pemimpin politik sehingga membelakangkan kebenaran, ketelusan dan integriti. 

Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa budaya ini masih cuba diperangi di dalam Umno, malah semua parti politik Malaysia. Tetapi hasilnya tidak menyerlah, mungkin ada. Tetapi tidak menyerlah.

Yang tertuduh dan yang terpalit

Fenomena pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sangat menarik. Ia menggambarkan bagaimana orang Melayu sebenarnya benar-benar berada di persimpangan.

Yang tertuduh adalah bekas perdana menteri, Najib tetapi yang terpalit adalah seluruh batang tubuh politik Melayu-Islam di Malaysia, Umno khususnya. 

Benar, pendekatan pukul rata sebegini tidak adil kepada orang Melayu. Mana mungkin seekor kerbau berlumpur, kita tuduh seluruh kawannya hanyir. 

Tetapi, sekadar menafikan semua perkara juga adalah tidak tepat. Ada beberapa pengamatan yang menarik, malah agak merisaukan.

Pertama, kempen publisiti Najib kelihatan sangat bertujuan untuk menyelamatkan karier politik beliau.

Ia tidak dilihat berniat memulihkan Umno serta orang Melayu, apatah lagi membangunkan nilai serta kesedaran bangsa untuk mengabdikan diri kepada kebaikan.

Malangnya, ke mana-mana Najib pergi, anak muda Melayu akan sahut menyahut, memekik dan berteriak “Hidup Bossku!” lalu menenggelamkan satu hakikat yang amat nyata – beliau sudah terpalit dengan skandal integriti yang terbesar abad ini, dan sedang dibicarakan di mahkamah keadilan negara.

Mungkin ada yang berpendapat, beliau masih belum lagi terbukti bersalah. Jadi, tidak elok kita melulu dan emosional.

Tetapi, sebenarnya, bersalah ataupun tidak, orang Melayu dengan segala kebaikan dan hikmah yang ada, sebagai sebuah bangsa yang bermaruah, tidak patut berkompromi  dengan kegagalan beliau menjaga nama baik semasa berkuasa.

Banyak tindakan beliau yang dilaporkan kelihatan sangat berkompromi dengan ketegasan melawan korupsi dan pecah amanah. Ini yang orang Melayu kesalkan.

Meskipun ia sekadar dakwaan, dan katakanlah bahawa beliau terbukti tidak bersalah kelak, orang Melayu masih tidak harus selesa dengan berpuas hati dengan kesederhanaan.

Kesederhanaan dalam kualiti, dalam prestasi dan dalam kesungguhan menterjemahkan keunggulan nilai dan akal budi. 

Kita dianjurkan bersederhana (moderate) dalam pendekatan kita, namun bukan berpuas hati dengan perkara dan mereka yang sederhana (mediocre) khususnya yang akan kita angkat sebagai ketua.

Kedua, kempen “Hidup Bossku” membantutkan potensi bangsa dan parti Umno. Kerana kempen tersebut, orang Melayu terus dilihat lemah, tidak relevan dan hilang kematangannya pasca PRU14. 

Setelah hilang kuasa pentadbiran, orang Melayu tidak punya apa kecuali kesatuan tekad dan hikmah terpendam bagi memastikan survival bangsa terus terpelihara. 

Namun amat mengecewakan apabila orang Melayu masih mendukung pemimpin-pemimpin lama, yang jelas korup dan tidak berintegriti.

Mereka inilah yang menyebabkan orang Melayu berterusan berada dalam the state of decline.

Hasrat Umno untuk mengembalikan kepercayaan rakyat Malaysia kepada kepimpinan politik Melayu-Islam, secara tidak sedar sedang dihalang oleh demagog-demagog veteran serta sekutu-sekutu muda yang ghairah membuktikan kesetiaan. 

Masakan bangsa yang berbangga dengan pegangan Islam boleh berkompromi dengan korupsi dan ketandusan integriti sebegini? 

Kandang tertuduh dan nasib Melayu-Umno

Tidak lama lagi kandang tertuduh di mahkamah akan semakin panas dengan pelbagai cerita, bukti dan hujah. Siapa yang betul, siapa yang salah, semuanya bergantung  pada perjalanan undang-undang dan takdir kebenaran. 

Namun, orang Melayu, khususnya di dalam Umno mesti sedar bahawa mereka punya pilihan. Untuk kekal objektif dan tidak apologetik menyatakan apa yang benar dan apa yang salah. Meskipun bakal pahit dan sukar untuk dizahirkan.

Orang Melayu dan pendukung-pendukung Umno mempunyai tanggungjawab moral dan kewajipan perjuangan untuk menunjukkan kepada semua, khususnya bangsa lain bahawa Umno dan Melayu tidak pernah berkompromi dan menerima korupsi.

Umno dan Melayu tidak pernah bersetuju dengan kemungkaran. Umno dan Melayu tidak pernah setia dan taat membuta tuli.

Paling penting, orang Melayu tidak mudah dikaburi dengan gelaran dan pangkat seperti presiden dan tuan penasihat. 

Sebagai sebuah bangsa, orang Melayu, malah negara ini, layak menerima pemimpin yang sofistikated, yang baharu dari kelompok bakat terbaik, berintegriti dan bermaruah untuk mengetuai kita. Bukan seorang yang membawa Umno dan orang Melayu ke dalam kandang tertuduh bersamanya. 

Psychological feudalism seperti yang diberitahu Syed Hussein Alatas berpuluh tahun dahulu, harus diinsafi rakyat Malaysia. Bahawa sehingga akhir nanti, akan tetap wujud aktor politik yang seringkali memperkudakan bangsa Melayu untuk kepentingan politik peribadi.

Mereka ini bertopengkan naratif “bossku bukan saya, tetapi rakyat” namun pada zahirnya sedang bergelut untuk menyembunyikan pekung sendiri yang kian membusuk. 

Orang Melayu, sedarlah kita punya pilihan. – 15 Ogos, 2019.

* Mohd Daud Mat Din adalah pengarah Penyelidikan di Bait Al Amanah bersama Abdullah Afiq, penyelidik di Bait Al Amanah.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen