Rasulullah menentang fahaman perkauman


PENYALAHGUNAAN nama Islam untuk membakar api perkauman yang kini kian semarak di kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia perbuatan yang serius dan harus dihentikan serta-merta.

Keadilan dalam ajaran agama Islam jelas merentasi sempadan lensa sempit perkauman. Dalam hadis riwayat Muslim Abu Daud dan Nasa’i, Nabi Muhamad pernah bersabda: “Bukan dari kalangan kami orang yang menyeru ke arah asobiyyah, bukan kalangan kami orang yang berjuang atas dasar assobiyah dan bukan kalangan kami orang yang mati atas dasar assobiyah.”

Petikan daripada hadis sahih tersebut jelas menunjukkan pendirian Rasulullah dalam menentang sekeras-kerasnya fahaman perkauman ataupun “assobiyah”. Sikap assobiyah ini boleh menyebabkan seseorang Muslim untuk terjerumus ke dalam kebudayaan yang bersifat jahiliah.

Umat Islam di Malaysia harus bersatu untuk menentang usaha-usaha sesetengah pihak dalam mencipta persepsi bahawa ajaran agama Islam menyokong sifat perkauman yang diperjuangkan mereka.

Pihak penguatkuasa undang-undang pula harus peka di dalam memastikan sebarang usaha untuk memecahbelahkan keharmonian kaum di negara ini dapat dibanteras sebelum ia terus membarah.

Malaysia sebagai sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum akan terus terdedah kepada ancaman-ancaman yang boleh menggugat keamanan negara seperti ini jika tiada sebarang tindakan proaktif diambil oleh pihak pembuat dasar untuk membendungnya. – 15 Ogos, 2019.

* Na’im Brundage ialah ketua Pemuda PKR Wilayah Persekutuan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen