Batalkan status Penduduk Tetap (PR) Zakir


SAYA merujuk kepada kenyataan-kenyataan penceramah bebas, Dr Zakir Naik berkenaan dengan warganegara Malaysia berbangsa India dan Cina seperti yang disiarkan media baru-baru ini.

Semua pihak diingatkan bahawa kebebasan bersuara di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan hanya dikhaskan buat warganegara sahaja, bukannya orang asing. Perlembagaan tidak memberi hak kebebasan bersuara secara khusus kepada bukan warganegara. Ini tidak bermakna bukan warganegara tidak boleh bersuara. Tetapi daripada perspektif Perlembagaan, hak mereka tidak dilindungi.

Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Zakir telah mengguris perasaan rakyat Malaysia dan menyebabkan ketegangan hubungan antara kaum. Walau apapun perbezaan kita rakyat Malaysia, rakyat Malaysia rata-rata tidak dapat menerima orang luar yang mengeluarkan kata-kata sedemikian terhadap saudara senegara kita.

Adalah jelas bahawa Zakir tidak patut dibenarkan untuk terus berada di Malaysia. Namun demikian, terdapat pihak-pihak yang zahirkan kekhuatiran bahawa sekiranya beliau dihantar pulang ke India, beliau mungkin tidak dapat perbicaraan yang adil bagi pertuduhan-pertuduhan terhadapnya. Juga terdapat kekhuatiran bahawa nyawa Zakir mungkin dalam bahaya sekiranya beliau pulang ke negara asal.

Untuk mengelakkan situasi yang tidak diingini sekiranya beliau dihantar pulang ke India, Kerajaan boleh dengan secepat mungkin membatalkan status penduduk tetap (PR) Malaysia yang dimilikinya. Dengan cara ini, Zakir boleh dengan sendiri mencari negara lain yang dapat memberi perlindungan kepadanya dan meninggalkan Malaysia.

Pembatalan status PR beliau bukan atas alasan kesalahan-kesalahan penggubahan wang haram yang dihadapinya di India atau dakwaan yang mengaitkannya dengan keganasan, yang kesemuanya belum dibuktikan, tetapi atas sebab kenyataan-kenyataannya yang memprejudiskan ketenteraman awam, seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Imigresen 1959/63. – 14 Ogos, 2019.

*Syahredzan Johan adalah seorang peguam dan juga setiausaha politik Lim Kit Siang. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen