Melayu banyak beri muka pada rasis, kata menteri Bersatu


Ia menyebabkan berlaku polemik seperti penentangan ke atas pembelajaran khat Jawi, kata Mohd Redzuan Yusof. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2019.

PENENTANGAN ke atas pembelajaran khat jawi berlarutan kerana orang Melayu berlembut dengan kumpulan kaum rasis, kata menteri Bersatu Mohd Redzuan Yusof.

Laporan Utusan Malaysia menyebut, beliau juga berkata penentangan itu juga menunjukkan golongan itu tidak hormat penggunaan bahasa kebangsaan.

“Bangsa Melayu terlalu berkompromi mengikut kehendak kaum yang terlalu rasis. Sudah tiba masanya bangsa Melayu bangkit mempertahankan budaya Melayu sebelum dimusnahkan pihak terbabit.

“Kita telah terlalu banyak beri muka. Negara lain tidak sebaik macam kita. Sistem pelajaran wajib diguna pakai mengikut bahasa rasmi negara itu. Kita tidak begitu… berlembut saja.

“Marilah kita sama-sama perkasakan kembali budaya Melayu mengikut perlembagaan,” kata menteri pembangunan usahawan itu seperti dipetik dalam laporan Utusan.

Kenyataannya itu senada dengan pendirian Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menganggap pertubuhan pendidikan Cina Dong Zong rasis kerana menentang khat jawi.

Kenyataan Redzuan itu menambah lagi tekanan di kalangan parti Pakatan Harapan (PH) yang kini berlaga pendirian dalam banyak isu, termasuk pembelajaran khat jawi.

Sayap Pemuda Bersatu juga semalam mendesak Dong Zong atau nama rasminya Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia diharamkan atas pendirian itu.

Pemuda Bersatu menyifatkan persatuan pendidikan Cina itu jahat dan keterlaluan kerana Tan mendakwa tulisan Jawi adalah proses islamisasi kepada pelajar bukan Islam.

DAP bagaimanapun menyokong pendirian Dong Zong dan kalangan pemimpinnya berpendapat pertubuhan itu tidak akan diharamkan kerana kerajaan PH kini lebih meraikan perbezaan pendapat. – 14 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • eh. please focus on your flying car. good for nothing minister. a joke

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh . . · Ulasan