SPRM kaji semula fail kontroversi yang ditutup, kata Latheefa


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata, SPRM akan mengkaji semula fail kes kontroversi untuk melihat mengapa ia ditutup. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2019.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengkaji semula fail kes kontroversi untuk melihat mengapa ia ditutup, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya hari ini.

Tanpa menyebut kes yang mana katanya, beliau telah meminta supaya fail-fail berkenaan dikaji semula untuk melihat mengapa ia ditanda tanpa tindakan selanjutnya (NFA).

“Saya dimaklumkan tentang banyak kes kontroversi.

“Saya telah meminta semua fail yang melibatkan individu kontroversi dan saya perlu meneliti dan memahami kenapa ia ditutup, adakah ia benar-benar NFA (tiada tindakan selanjutnya) atas alasan yang betul. Saya memerlukan sedikit masa untuk melakukannya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat SPRM Pulau Pinang hari ini.

Latheefa yang dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM awal Jun lalu ditanya mengenai kes kontroversi yang dibawa ke mahkamah tetapi kemudiannya digugurkan.

Salah satunya kes pembebasan bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng atas dakwaan rasuah dalam pembelian banglo di bawah nilai pasaran daripada ahli perniagaan Phang Li Koon.

Latheefa berkata tiada keperluan untuk pihaknya membuka semula kes berkenaan kerana sudah diputuskan di mahkamah.

Menurutnya, SPRM tidak boleh berbuat apa-apa melainkan ada bukti dan isu terbaharu yang membolehkan kes tersebut dibuka semula.

“Bagi saya kes-kes yang telah sampai tahap mahkamah dan telah selesai, memang nak buka semula (kes-kes itu) tidak masuk akal. Apabila kes telah selesai di mahkamah, sudah selesai. Tidak boleh membuka kes yang telah selesai. Apabila kes mahkamah selesai dan ditutup,” katanya.

Pada 3 September lepas, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Lim yang kini Menteri Kewangan dan ahli perniagaan Phang Li Koon daripada pertuduhan rasuah berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran. 

Keputusan itu dibuat mahkamah berikutan permohonan peguam Ramkarpal dan peguam V. Sithambaram serta peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Phang, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu. – 17 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen