Putrajaya sedia salur RM1 bilion baiki sekolah di Sarawak


Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, Putrajaya mengeluarkan dana untuk baik pulih sekolah di Sarawak adalah sebahagian daripada perjanjian bayaran balik hutang yang ditandatangani Ketua Menteri Abang Johari Openg minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2019.

KEMENTERIAN Kewangan mahu kerajaan negeri Sarawak membayar semula hutang sebanyak RM350 juta kepada Putrajaya sebelum melaksanakan fasa pertama pembaikpulihan sekolah usang di negeri itu.

Menterinya Lim Guan Eng berkata, ini merupakan perjanjian dicapai dengan kerajaan negeri, yang berhutang dengan Putrajaya sebanyak RM2.37 bilion dalam bentuk pinjaman.

Daripada jumlah itu, RM1 bilion akan disalurkan kembali kepada Sarawak untuk membaiki sekolah.

“Kerajaan persekutuan akan mempercepatkan fasa pertama sebanyak RM350 juta untuk pembaikan sekolah usang di Sarawak sebaik sahaja kerajaan negeri membayar balik hutangnya sebanyak RM350 juta,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim menggesa kerajaan Sarawak untuk mempercepatkan bayaran itu agar pembaikan sekolah fasa pertama boleh diselesaikan akhir tahun ini.

Beliau turut mengingatkan Kuching bahawa ia turut bersetuju dengan syarat lain, seperti menganugerahkan kontrak pembaikan itu secara tender terbuka bagi memastikan ketelusan dan nilai untuk wang.

Lim berkata Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg telah menyatakan persetujuannya dengan syarat berkenaan dalam satu surat yang diterima oleh Lim pada 15 Julai.

Dua minggu lalu, Lim berkata Putrajaya masih belum mendapat maklum balas dari Sarawak mengenai syarikat yang dikenakan bagi membayar semula hutang RM1 bilion.

“Kerajaan negeri Sarawak bercadang untuk menggunakan bayaran semula hutang itu untuk membaiki sekolah sebenarnya adalah pendahuluan daripada kerajaan persekutuan, kerana ia melibatkan dana yang dipinjam oleh kerajaan Sarawak sebelum ini,” katanya hari ini.

“Ini bermakna RM1 bilion sebenarnya adalah dana kerajaan persekutuan dengan perjanjian bahawa ia akan digunakan untuk membaiki sekolah.” – 22 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen