SEORANG ibu maut manakala tiga anaknya termasuk bayi berusia lima bulan cedera selepas kenderaan dipandu wanita itu terbabas sebelum terjunam ke gaung di Kilometer 155 Lebuhraya Uatara-Selatan (PLUS) di Tangkak, pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, DSP Idris Abdul Rahman berkata dalam kejadian pada 7.50 pagi itu, kereta jenis Perodua Alza yang dipandu mangsa dari arah Skudai menuju ke Bukit Beruang, Melaka terjatuh ke gaung sedalam kira-kira 20 meter.
“Siasatan awal mendapati, mangsa hilang kawalan sehingga terbabas ke kiri dan melanggar pembahagi jalan.
“Pemandu kereta itu, Teoh Sick Inn, 34, maut di lokasi kejadian ekoran kenderaan dipandu terjatuh dari jambatan dan masuk ke gaung akibat pelanggaran itu, manakala tiga anaknya berusia 15 tahun, enam tahun dan lima bulan mengalami cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di Tangkak hari ini.
Beliau berkata kesemua mereka dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan lanjut dan bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Bernama, 14 Julai, 2019
Komen