Netanyahu beri amaran 'hapuskan' sebarang tindak balas


Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memberi amaran jet pejuang Israel mampu mencapai mana-mana kawasan di Timur Tengah termasuk Iran.– Gambar EPA, 14 Julai, 2019

PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu memberi amaran kepada pemimpin Lubnan yang disokong Hezbollah bahawa sebarang tindak balas akan “dihapuskan” susulan sebarang serangan, selepas kenyataan pemimpin kumpulan berkenaan bahawa roketnya mampu mencapai Tel Aviv. 

“Sejak minggu lalu kita mendengar Hassan Nasrallah bercakap besar tentang rancangan serangannya,” katanya ketika memulakan mesyuarat kabinet. 

“Biar saya jelaskan, sekiranya Hezbollah berani membuat kesilapan dengan menyerang Israel, kita akan pastikan Lubnan akan alami kemusnahan ketenteraan.”

Pada Jumaat, pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah dalam satu wawancara dengan stesen televisyen Al-Manar, memberi amaran bahawa kawasan Israel di sepanjang Laut Mediterranean, termasuk Tel Aviv, “berada dalam jangkauan peluru berpandu kami”.

Ketua pergerakan Syiah Lubnan itu juga berkata, Iran mampu mengebom Israel, ” namun, kami tidak akan mulakan perang”.

Minggu lalu, Netanyahu berkata, “Iran mengancam untuk memusnahkan Israel” dan memberi amaran jet pejuang Israel mampu mencapai mana-mana kawasan di Timur Tengah termasuk Iran.”

Hezbollah dianggap sebagai pergerakan pengganas oleh Amerika Syarikat dan merupakan satu-satunya pihak yang masih belum meletakkan senjata selepas perang saudara Lubnan 1975-1990. – AFP, 14 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen