Trump dakwa China langgar janji mahu beli produk pertanian AS


AS berharap China kembali berbelanja besar membeli produk pertaniannya. – Gambar EPA, 12 Julai, 2019.

PRESIDEN AS Donald Trump semalam menuduh China melanggar janji untuk meningkatkan pembelian produk pertanian Amerika.

Kecaman presiden menerusi Twitter itu berlaku pada minggu sama pegawai AS dan China berhubung buat pertama kali sejak berbulan-bulan dalam usaha menyambung semula rundingan perdagangan yang hampir gagal pada Mei lalu.

Trump dan rakan sejawat China Xi Jinping bertemu bulan lepas pada Sidang Kemuncak G20 di Jepun, bersetuju menghentikan kemelut bagi membolehkan rundingan disambung.

“Mexico bagus di sempadan, tetapi China mengecewakan apabila mereka tidak membeli produk pertanian daripada petani hebat kita sedangkan sudah berjanji,” katanya semalam di Twitter.

“Harapnya mereka akan berbuat begitu tidak lama lagi!”

Selepas pertemuan di Osaka, Trump mengumumkan sebagai balasan kepada janji Washington menggantung rancangan peningkatan tarif AS$300 bilion ke atas import China, Beijing menawarkan untuk membeli “jumlah besar produk makanan dan pertanian” dari AS.

Trump menawarkan bantuan bernilai berbilion untuk menyelamatkan petani AS yang terjejas teruk dalam perang dagang dengan China.

Pembelian China untuk kacang soya meningkat pada suku pertama tahun ini kepada 9.5 juta tan, menurut data rasmi, menampung kejatuhan jualan pada hujung 2018.

Tetapi kini ia kembali terjejas, dengan hanya beberapa urus niaga besar dicatat sejak bulan lepas.

“China tak beli besar, sejak pertemuan dengan Xi,” kata penganalisis.

“Trump menganggap China akan kembali membeli serta merta dan jualan akan berlaku. Ini tidak jadi kenyataan.” – AFP, 12 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen