Tian Chua dan makna keadilan


MALAM ini malam kedua Tian Chua tidur di dalam sebuah sel penjara. Tidur di dalam sel sama sekali tidak nyaman.Tiada kipas angin, hanya tingkap kecil buat ruang udara.

Ada yang sinis berkata hanya satu bulan. Mereka yang tidak pernah hilang kebebasan dan dipenjara tidak akan faham makna satu kebebasan walaupun satu hari dan satu malam.

Namun soalnya bukan Tian dan penjara. Soalnya ialah proses keadilan di dalam negara ini. Tian keluar masuk penjara walaupun dia tidak pernah melakukan jenayah. Atau definasi jenayah di Malaysia berbeza. Berhimpun secara aman satu jenayah. Mencuri dan menyamun wang rakyat berbillion ringgit bukan satu jenayah.

Jho Low yang terang-terang melakukan jenayah mencuri wang negara lepas bebas. Shahrol (Shahrol Azral Ibrahim Halmi) yang disebut secara jelas didalam Laporan PAC sebagai orang yang bertanggungjawab dalam skandal 1MDB masih lepas bebas.  Nik Faisal (Nik Faisal Ariff Kamil) yang mengaturkan wang negara puluhan juta melalui SRC masuk ke akaun Najib (Razak) lepas bebas.

Di Malaysia tidak apa menyamun duit negara dan rakyat berbilion ringgit.Yang salah di Malaysia ialah berhimpun secara aman. Sebab itu Tian ke penjara dan mereka tidak.

Apakah kita telah lupa kisah yang menyebabkan Rasullulah SAW amat marah hingga bersumpah akan memotong tangan anaknya sendiri kalau Fatimah mencuri?

Rasulullah SAW berang bila mendapat tahu ada usaha untuk melepaskan seorang bangsawan bernama Fatimah Makzumiyyah yang mencuri wang baitulmal, harta negara. Fatimah bangsawan ini melobi melalui anak angkat kesayangan Nabi sendiri untuk lepas bebas dari proses keadilan.

Makanya Rasullullah SAW bersumpah tiada beza sesiapapun yang melakukan jenayah mencuri wang negara mesti dihukum termasuk putri kesayangannya sendiri.

Di Malaysia hari ini yang tidak menyamun ke penjara. Yang menyamun berbillion ringgit bukan sahaja bebas malah tidak ada satu proses keadilan pun berlaku ke atas mereka.

Hari ini kita lihat ramai pemimpin Islam berebut mahu menjadi hero Islam.

Tetapi sumpah nabi mereka yang paling jelas diketepikan prinsipnya oleh pemimpin negara ini terus berlaku dan berlalu.

Selamat menghayati Asyura. – 1 Oktober, 2017.

*Mohamad Ezam Mohd Nor adalah senator Dewan Negara.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen