-2.jpg)
PENAHANAN pensyarah terkenal antarabangsa Mustafa Akyol, seorang warga Turki, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggemparkan dan memalukan Malaysia sekali lagi.
Tiada banyak berita yang positif dan baik dari Malaysia kebelakangan ini.
Hanya campur tangan bekas Presiden Turki, Abdullah Gul dan beberapa orang kenamaan daripada kalangan istana dapat membebaskan beliau untuk berlepas ke Amerika Syarikat.
Mustafa adalah seorang pensyarah di Universiti Denver dan pernah juga memberi syarahan di Universiti Oxford. Beliau tidak pernah ditahan di mana-mana negara sebelum ini.
Beliau berpendapat hanya sebuah negara yang ultra konservatif di benua Arab dijangka boleh bertindak sedemikian rupa, tetapi beliau tidak menyangka ia boleh berlaku di Malaysia.
Apa telah terjadi pada Malaysia, negara yang kita pernah kenal penuh dengan toleransi dan pemimpin yang bijaksana dahulu?
Baru-baru ini isu kedai dobi untuk orang Islam sahaja, insiden seorang lelaki berseluar pendek diambil tindakan dan sekarang seorang pensyarah yang dijemput oleh pihak Islamic Renaissance Front pula ditahan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Isunya bukan orang persendirian yang melakukan perkara ini tetapi pihak kerajaan di pihak tertinggi juga menjadi pencetus perbuatan melampau seperti ini.
Seorang mufti dari Pahang menyatakan secara terbuka yang ahli parti DAP adalah daripada golongan kafir harbi dan boleh diperangi. Ada juga guru agama tertentu secara terbuka menghukum halal darah sesama Islam, dan mereka ini boleh dihapuskan. Kerajaan berdiam diri tanpa tindakan.
Sebenarnya para pelampau agama telah berada dalam kalangan kita dan tak perlu kita menunggu kumpulan militan Islamic State (IS) atau Daesh datang untuk membawa masuk budaya “takfiri” (kafir-mengkafir) ke negara kita. Kenapa kerajaan mengambil sikap terus berdiam diri?
Kalau kerajaan boleh menangkap mereka yang dituduh kononnya “liberal”, kenapa tiada tindakan langsung ke atas mereka yang mengeluarkan kenyataan melampau dan ekstrem seperti tuduhan kafir harbi serta halal darah?
Tidak ada kenyataan langsung yang dibuat. Bukankah tindakan kenyataan esktrem ini lebih berbahaya kerana melibatkan keselamatan nyawa mereka yang dituduh?
Nampak gayanya apabila kenyataan ditujukan kepada pihak yang kurang mesra kerajaan, tidak ada tindakan walaupun betapa bahayanya kepada nyawa yang dituduh.
Menteri Luar Malaysia, Anifah Aman baru-baru ini menyatakan badan Global Movements of Moderates yang ditubuhkan Perdana Menteri Najib Razak untuk mengutamakan konsep sikap kesederhanaan, akan dihantar ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk bercakap tentang sikap anti pelampau dan mengajar nilai kesederhanaan.
Mengapakah kerajaan membenarkan sikap yang ekstrem dan takfiri terus wujud di negara sendiri tetapi menampilkan imej sederhana di peringkat antarabangsa?
Ini lebih ketara dengan hampirnya tarikh Pilihan Raya Umum ke-14. Rakyat Malaysia amat keliru dan kecewa sementara masyarakat antarabangsa memandang sikap kerajaan penuh kontradiksi dan banyak percanggahan.
Sudah sampai masanya Malaysia kembali kepada dasar dan sikap penuh kesederhanaan dan toleransi yang pernah dihormati dunia dahulu.
Sikap kerajaan hari ini mengundang golongan ekstrem tempatan berkembang dan menambah pengaruh mereka. Pertumbuhan pihak pelampau tempatan ini jauh lebih merbahaya berbanding kemasukan pelampau agama seperti IS dari luar.
Anak serta cucu kita mungkin akan menjadi mangsa golongan ini.
Islam mengajar kesederhanaan serta toleransi dalam berdakwah dan inilah yang menjadikan Malaysia pernah dihormati dan dicontohi oleh negara lain sebelum ini.
Apa sudah jadi pada Malaysia kita yang pernah kita kenali dan berbangga suatu masa dahulu? – 29 September, 2017.
* Raja Bahrin Shah adalah ahli Parlimen Kuala Terengganu.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen