Richard Riot ke SPRM bantu siasatan kes seleweng RM40 juta


Menteri Sumber Manusia Richard Riot hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight, 29 September, 2017.

MENTERI Sumber Manusia Richard Riot hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pagi ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan peruntukan kerajaan bernilai RM40 juta.

Beliau dilihat memasuki pejabat itu kira-kira 10 pagi. Jurucakap SPRM memaklumkan, Richard dijangka diambil keterangannya sehingga tengah hari ini.

SPRM semalam mendapat perintah mahkamah menahan reman seorang setiausaha politik kepada menteri selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang peruntukan RM40 juta yang sepatutnya disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Majistret Azizah Ahmad mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman lelaki berusia 61 tahun itu.

Setiausaha politik berkenaan ditahan selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM pada tengah hari Rabu.

Individu terbabit tiba di mahkamah pada 9.45 pagi semalam dengan memakai baju lokap SPRM berwarna oren. Prosiding reman selesai jam 3.30 petang.

Setiausaha politik itu merupakan individu kelima yang ditahan oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang peruntukan berkenaan.

Laporan media menyebut individu berkenaan merupakan ahli biasa Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Serian, Sarawak.

Siasatan terhadapnya dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

SPRM pada 13 September lalu menahan empat individu kerana disyaki menyeleweng dana kerajaan bernilai hampir RM40 juta yang sepatutnya disalurkan kepada sebuah perbadanan kemahiran bagi tujuan program latihan.

Mereka yang ditahan ialah ketua eksekutif bergelar Datuk berumur 58 tahun, setiausaha perbadanan berumur 34 tahun, penolong pegawai kewangan berumur 32 tahun dan pengarah sebuah syarikat bergelar doktor berumur 38 tahun di beberapa lokasi di ibu negara dalam operasi khas SPRM.

Bagaimanapun, kesemua individu terbabit yang direman enam hari bermula 14 September lalu masing-masing dibebaskan dengan jaminan. – 29 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen