22 tahun terlepas pandang, kini Dr M kelirukan rakyat


PAKATAN Harapan (PH) terutama menerusi pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad aktif dan giat menjelajah ke seluruh negara berkempen untuk menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak.

Antara slogan yang dimainkan untuk mengubah dan membebaskan Malaysia daripada gejala rasuah yang menurut beliau dilakukan oleh kepimpinan tertinggi negara.

Tetapi melihatkan realiti sebenar, apa yang dibuat Dr Mahathir ini tersangatlah mengelirukan. Ini kerana rakan baik baharu beliau dalam PH iaitu Lim Guan Eng dituduh dan akan dibicarakan bagi kesalahan rasuah.

Dalam masa Dr Mahathir membuat pelbagai tuduhan liar terhadap perdana menteri, sikap “double standard” beliau terhadap kes melibatkan Guan Eng sangat mendukacitakan. Bagaimana beliau boleh bercakap soal menghapuskan rasuah sedangkan orang yang duduk di sebelahnya dituduh kerana kesalahan tersebut.

Baru-baru ini, PH melancarkan manifesto mereka bagi Sarawak. Antara janji yang terkandung dalam manifesto tersebut adalah untuk menaikkan royalti minyak Sarawak dan Sabah dari 5% ketika ini kepada 20% jika PH berjaya menawan Putrajaya.

Pada masa sama, Dr Mahathir menyalahkan mantan perdana menteri, Tun Abdul Razak kerana persetujuan berat sebelah yang wujud dari Akta Pembangunan Petroleum yang dibuat pada 1974.

Selama 22 tahun beliau memegang jawatan perdana menteri, tidak langsung beliau mempunyai hati untuk mengubah perkara ini. Dek kerana dendam kesumat dan geram, beliau sanggup menyalahkan orang yang sudah meninggal dunia tanpa ada rasa bersalah pada dirinya.

Rakyat seluruh negara perlu menilai sejauh mana keikhlasan Dr Mahathir dalam tindakannya. Ternyata beliau sendiri kini terkeliru dan cuba untuk mengelirukan. Dan sudah tentu, alasan yang akan diberikan beliau hanyalah sekadar “terlepas pandang”. Aduhai. – 29 September, 2017.

* Budiman Mohd Zohdi ialah ahli Parlimen Sungai Besar/ADUN Sungai Panjang.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen