.jpg)
TANGGAL 1 Oktober, 2017 ini akan berakhirlah suatu era dalam pemodenan Malaysia ini apabila Petronas Malaysian Formula 1 Grand Prix dianjurkan buat kali terakhirnya di Sepang. Bermula 1999, apabila perlumbaan yang pertama berlangsung di litar Antarabangsa Sepang, ia berjaya melonjakkan nama Malaysia di persada dunia.
Sememangnya penganjuran perlumbaan ini pada zahirnya suatu inisiatif penjenamaan Malaysia. Tetapi ramai dalam kalangan rakyat dan pemimpin sekarang lupa bahawa penjenamaan ini lebih daripada suatu taktik pemasaran pelancongan ke Malaysia.
Penjenamaan yang dianjurkan bagi meletakkan Malaysia sebagai sebuah kuasa dalam arena teknologi permotoran dunia. Ini sesuai dengan strategi automotif negara ketika itu yang bercita-cita menguasai segala aspek pembuatan kereta dan kenderaan bermotor serta industri berkait seperti petroleum.
Penganjuran perlumbaan F1 ini memangkinkan perkembangan teknologi bagi industri tersebut, setidak-tidaknya pada taraf dunia. Hasilnya berlipat kali ganda bagi Malaysia bukan saja daripada segi ekonomi pelancongan, tetapi juga melalui jalinan kerjasama teknikal seperti antara Petronas dan AMG Mercedes.
Ia juga melahirkan ramai jurutera tempatan yang berkemampuan dalam bidang sains dan teknologi permotoran serta petroleum.
Strategi yang sebegini canggih tentunya hanya mampu diilhamkan mantan perdana menteri Malaysia yang kelima, Dr Mahathir Mohamad. Beliaulah yang digelar “Chief Marketing Officer” Malaysia ketika itu, kerana bijak mengatur strategi pemasaran yang sangat berkesan dengan penganjuran perlumbaan F1 ini.
Sedar tak sedar, Tunlah penaung perlumbaan F1 ini. Kedudukan beliau dihormati dengan jemputan yang dibuat setiap tahun sebagai mengenang jasa beliau selama ini.
Tetapi tahun ini, entah kenapa Tun tidak diberi penghormatan yang sama, terutama memandangkan tahun ini merupakan perlumbaan akhir di Malaysia. Saya tahu kalau diminta penjelasan, ada yang akan mengatakan Tun bukan lagi penasihat Petronas, atau juga kerana beliau selama ini tidak wajib diberi penghormatan serupa.
Dengan penuh istighfar saya ingin mengingatkan mereka yang bertanggungjawab penghormatan yang harus diberi kepada Tun adalah sebagai penaung dan pendorong pembangunan negara. Tun bukan ibarat badai yang lebih angin daripada hujan tetapi merasakan diri beliau seperti taufan kategori 5.
Tun Bapa Pemodenan Malaysia yang pencapaian pemodenan beliau dilambangkan melalui penganjuran perlumbaan ini. Jasa Tun dalam memodenkan Malaysia berdekad lamanya, dan bukannya sekejap. Kebanyakan usaha kerajaan sekarang tidak akan terbina tanpa asas kukuh yang dibina oleh Tun dan pemimpin lalu.
Sebagai rakyat Malaysia, susahkah kita hendak menunjukkan tanda berterima kasih hanya dengan jemputan tetamu kehormat? Atau kita sanggup menyerah kepada kebencian yang meluap akibat perpecahan politik sehingga buta kepada adab dan ketamadunan Melayu?
Kalau ikutkan, Tun lebih daripada mampu untuk beli tiket ke perlumbaan tersebut. Tetapi ini soal prinsip. Atau mungkin saya yang naif kerana menganggap pihak berkaitan berpegang kepada prinsip? – 29 September, 2017.
* Tariq Ismail ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
Komen