Kojadi tuduh Wee Ka Siong halang usahanya pulang duit 1MDB


Presiden MCA Wee Ka Siong didakwa mengeluarkan arahan kepada semua pengarah Kojadi supaya hentikan pertemuan dengan SPRM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2019.

PENGERUSI Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi) Ng Peng Ha menuduh Presiden MCA Wee Ka Siong cuba menghalang pihaknya daripada berusaha memulangkan duit yang mereka terima terkait dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Ng, beliau mendapat mandat daripada ahli lembaga pengarah Kojadi untuk berbincang dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kedudukan wang RM15 juta yang koperasi itu terima daripada Yayasan 1MDB pada 2012.

Namun belum pun sempat temu janji dibuat dengan SPRM, Wee mengeluarkan arahan kepada semua pengarah Kojadi supaya hentikan pertemuan dengan agensi anti rasuah itu, dakwa Ng.

“Saya bantah campur tangan presiden MCA dalam pengurusan harian Kojadi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

The Malaysian Insight telah menghubungi Wee, yang sedang menghadiri satu persidangan di Indonesia. 

Sebagai tanda bantahan, Ng yang mengaku ahli seumur hidup MCA turut mengumumkan beliau keluar parti.

Katanya, beliau juga akan memanggil satu mesyuarat tergempar lembaga pengarah Kojadi untuk membincangkan cadangan memulangkan duit yang diterima daripada Yayasan 1MDB.

Menurut Ng, geran daripada Yayasan 1MDB itu digunakan oleh Kojadi sebagai pinjaman mikro kepada 1,264 usahawan kecil belia.

“Setakat hari ini, RM1.72 juta daripada geran itu dihapus kira sebagai hutang lapuk, RM1.03 juta dibayar sebagai cukai kepada pihak berkuasa dan lebih kurang RM8.06 juta dipegang tunai,” katanya.

Minggu lalu, SPRM memulakan tindakan saman sivil ke atas 41 pihak untuk melucutkan hak mereka terhadap RM270 juta keseluruhannya duit yang mereka terima daripada Najib Razak yang didakwa diselewengkan dari 1MDB.

SPRM turut menggesa 41 pihak berkenaan, serta mereka yang namanya belum didedahkan, supaya memulangkan dengan sukarela wang yang mereka terima.

Kojadi ialah koperasi milik MCA yang ditubuhkan pada 1981 bertujuan memberikan bantuan pinjaman pelajaran.

Menurut Ng, beliau memanggil satu mesyuarat tergempar semalam (Khamis, 27 Jun) susulan tindakan saman sivil SPRM minggu lalu.

“Saya cadangkan kepada lembaga pengarah untuk pulangkan bantuan kewangan dari Yayasan 1MDB,” kata Ng.

Jelas Ng, sebagai pengerusi koperasi, tujuan beliau hanyalah mahu melindungi kepentingan Kojadi serta 60,000 ahli koperasi dan 50 kakitangan sekiranya SPRM mengambil tindakan sama terhadapnya.

“Selepas perbincangan panjang, lembaga pengarah mengarahkan saya bertemu SPRM hari ini untuk menjelaskan kedudukan dan meminta nasihat,” katanya. – 28 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen